mutakhir

Lelaki maut, bom buatan sendiri meletup

Oleh Melvin Joni

Meradong: Lelaki maut, manakala rakannya parah selepas bom buatan sendiri yang diletakkan di dalam bakul depan motosikal meletup di Rh Mandau, Jalan Sungai Pidi Bakong, di sini, semalam.

Dalam kejadian 6.24 petang itu menyebabkan penunggang motosikal maut di lokasi kejadian, manakala pemboncengnya parah di kaki dan paha.

Ketua Polis Daerah Meradong Deputi Superintendan Sekam Anoi berkata, siasatan di tempat kejadian dipercayai disebabkan letupan dari bahagian bakul depan dan tangki motosikal.

"Akibat kejadian, penunggang berusia 23 tahun dari Rh. Suring, Sungai: Pidi, Bakong, Meradong meninggal dunia di tempat kejadian.

"Pembonceng berusia 53 tahun dari Rh Kedawang, Batu Gerugo, Sungai Merurun, Julau parah dan dikejarkan ke Hospital Sarikei untuk rawatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sekam berkata, siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti jenis dan cara buatan bahan letupan itu, yang dipercayai buatan sendiri untuk digunakan memburu binatang liar di dalam hutan.

"Polis memandang serius perbuatan ini kerana ia bukan sahaja membahayakan diri tetapi orang ramai.

"Tindakan tegas akan diambil supaya perbuatan seperti ini dapat dibendung daripada terus berlaku," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 6, Akta Bahan Letupan 1957.

Disiarkan pada: June 10, 2021 @ 10:18am
d