mutakhir

Cabul peserta Unduk Ngadau, ahli politik mengaku tidak bersalah [METROTV]

Oleh Juwan Riduan

Kota Kinabalu: Bekas pemimpin Parti Solidariti Tanah Airku Rakyat Sabah (STAR), Philip Among mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas lima pertuduhan mencabul kehormatan dua wanita termasuk seorang peserta Unduk Ngadau, April dan Mei lalu.

Pengakuan itu dibuat di hadapan Majistret Jessica Ombou Kakayun selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan pertama, Philip dituduh menggunakan kekerasan jenayah dengan niat mencabul kehormatan seorang wanita pada 17 April lalu, kira-kira jam 11 malam di ruang tamu Capsule Inn, Asia City, di sini.

Sementara, empat lagi pertuduhan membabitkan kesalahan mencabul kehormatan terhadap seorang lagi wanita yang juga peserta Unduk Ngadau di empat lokasi berasingan pada 19 Mei lalu.

Ahli politik terbabit berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau dengan mana-mana dua daripada seksaan itu.

Mahkamah kemudian membenarkan Philip dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM8,000 bagi setiap pertuduhan bersama dua penjamin tempatan, sementara menunggu tarikh pengurusan kes pra perbicaraan pada 14, 21 dan 22 Julai depan.

Tertuduh juga diarah untuk menyerahkan pasport kepada pendakwa selain melapor diri di balai polis sekali setiap bulan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Amirah Mohd Ali memohon kepada mahkamah supaya mengenakan ikat jamin sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan berikutan kes terbabit mendapat liputan meluas di media.

Bagaimanapun, dua peguam mewakili tertuduh Marcel Jude dan Abdul Fikry Jaafar Abdullah memohon mahkamah supaya mengurangkan jumlah ikat jamin, mengambil kira tertuduh memberi kerjasama sepenuhnya kepada polis sepanjang siasatan dilakukan.

Selain itu, Jude turut menyatakan sumbangan Philip kepada masyarakat sebelum ini perlu diambil kira selain pendapatannya sebagai seorang ahli perniagaan terjejas akibat pandemik Covid-19.

Philip ditahan polis pada 3 Jun lalu bagi membantu siasatan selepas seorang peserta Unduk Ngadau peringkat negeri mendakwa diraba ketika menaiki kenderaan milik tertuduh.

Disiarkan pada: June 10, 2021 @ 2:25pm
d