mutakhir

Pengsan bukan sebab Covid-19 - Polis

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Seorang penumpang wanita yang pengsan di dalam sebuah bas ekspres di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) di Bandar Tasik Selatan, di sini, kelmarin, bukan disebabkan Covid-19.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada anggota polis bantuan yang bertugas di TBS, pada 12.50 tengah malam.

"Kami dimaklumkan seorang penumpang wanita berusia 36 tahun pengsan di dalam bas ekspres berkenaan yang tiba di terminal terbabit dari Larkin, Johor Bahru, Johor.

"Pihak ambulans yang dihubungi tiba di lokasi kejadian 1.30 pagi sebelum wanita berkenaan dibawa ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz untuk menerima rawatan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamed Mokhsein berkata, semakan dilakukan dengan waris wanita terbabit mendapati dia kemudiannya sudah dimasukkan ke Wad Neurologi Hospital Kuala Lumpur.

"Wanita itu didapati pengsan akibat mengalami penyakit ketumbuhan di bahagian otak.

"Maklumat daripada waris juga mendapati kejadian itu (pengsan) tiada kena mengena dengan jangkitan Covid-19," katanya.

Disiarkan pada: June 11, 2021 @ 10:46pm
d