mutakhir

Harap dapat keadilan untuk kakak

Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: "Saya harap akan dapat keadilan untuk kakak dengan penahanan suspek," kata Fazariah Nordin, 38, susulan kejayaan polis menahan lelaki yang disyaki memukul isterinya hingga parah 4 Mei lalu.

Semalam, Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Dev Kumar mengesahkan lelaki berusia 38 tahun itu ditahan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Bukit Aman, jam 11 pagi di Taman Bukit Angsana di ibu negara.

Suspek yang ditahan kemudian diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan untuk tindakan selanjutnya.

Fazariah, berkata, dia dan ahli keluarga rasa lega dan bersyukur di atas penangkapan suspek.

Menurutnya, pihaknya berharap kejadian yang menimba kakaknya Jahidah Nordin, 43, itu dapat dibela dan pelaku diheret ke muka pengadilan.

"Bersyukur sangat dia sudah ditangkap polis. Harap dia akan dikenakan hukuman setimpal di atas perbuatan yang dilakukannya terhadap kakak saya.

"Kecederaan yang dialami kakak saya bukan sedikit tetapi amat berat dan sehingga kini dia masih belum sedar walaupun sudah mendapatkan rawatan di dua hospital selama hampir sebulan.

"Kakak alami kecederaan parah pada bahagian kepala, tengkorak selain rahang, tulang belakang serta rusuk retak," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Fazariah berkata, kakak sulung daripada tujuh beradik itu masih menggunakan saluran tiub untuk makan dan minum.

"Kami masih tidak dapat berkomunikasi dan mendengar suaranya. Situasi itu memang membimbangkan.

"Cuma sedikit lega selepas doktor memaklumkan keadaan kandungannya baik. Ketika ini anak yang dikandungnya berusia 15 minggu dengan jangkaan melahirkan anak pada Disember depan," katanya.

Dalam pada itu, suspek direman selama enam hari bermula hari ini sehingga 17 Jun ini bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd Padzli Mohd Zain dilaporkan berkata, kes akan disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan.

Mohd Padzli berkata, jika sabit kesalahan, boleh dipenjara selama tempoh 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan.

Pada 18 Mei lalu, polis mengedarkan gambar suspek bagi memudahkan orang ramai memberi maklumat lokasi keberadaan suspek selepas keluarga mangsa membuat laporan polis berhubung insiden berkenaan.

Maklumat peribadi suspek turut diedarkan membabitkan nama dan alamatnya iaitu Rosmaini Abd Raof, 38, beralamat di A 102 Perumahan Polis, Taman Derga Jaya, Alor Setar di Kedah dan bekerja sebagai peniaga.

Dalam kejadian pada 4 Mei lalu, mangsa yang juga seorang kakitangan kerajaan dan menetap di Johor Bahru mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala.

Malah tengkorak terpaksa dibuang akibat pendarahan selain rahang, tulang belakang serta rusuk retak disyaki dipukul suami.

Berita berkaitan

Pukul isteri hingga koma: Lelaki direman enam hari

Lelaki pukul isteri hamil sehingga koma sudah ditahan

Derita koma dibelasah suami dari neraka!

Disiarkan pada: June 12, 2021 @ 8:02pm
d