mutakhir

'Serik dah main telefon bimbit terlalu lama'

Oleh Murnaena Muhammad Nasir

Kuala Terengganu: Bimbang anak obses bermain telefon bimbit, suri rumah Nurul Asyikin Yahya, 29, mengambil pendekatan melakukan 'prank' menconteng mata anaknya bagi kelihatan lebam, kononnya akibat terlalu bermain gajet itu.

Ibu satu anak itu berkata, dia berbuat demikian bukanlah bertujuan menakut-nakutkan anak sulungnya, Muhammad Harraz Khairil Abd Hakim, 4, sebaliknya bertujuan memberikan pengajaran supaya tidak bermain telefon bimbit terlalu lama.

"Sudah beberapa kali saya menasihatkannya tapi disebabkan masih kecil, dia kurang faham dan suka mengikut saudara lain bermain telefon bimbit terutama permainan video.

"Kerana itu, idea menconteng menggunakan celak hitam di matanya bagi kelihatan lebam itu timbul supaya anak faham ada kesan buruk yang akan berlaku jika terlalu lama bermain telefon," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Nurul Asyikin berkata, dia melakukan gurauan itu ketika anaknya tidur, minggu lalu.

"Sebaik saja anak bangun dan melihat matanya lebam, dia menangis kerana bimbang matanya lebam itu akan kekal.

"Tetapi saya tenangkan dia dan berkali-kali memberi nasihat kurangkan bermain telefon jika tidak mata akan lebam.

"Sebaik mencuci muka, anak kembali ceria dan saya lihat 'prank' itu sedikit sebanyak membantu mengurangkan penggunaan telefonnya dalam tempoh yang lama," katanya yang menetap di Kuala Nerus, di sini.

Kongsinya, dia turut memuat naik video dan beberapa gambar ketika melakukan 'prank' terhadap anaknya itu di aplikasi TikTok miliknya.

"Tidak sangka perkongsian itu mendapat perhatian warganet dan tontonan yang tinggi kerana niat saya hanya sekadar berkongsi saja.

"Ada juga yang kecam, kata nanti anak akan trauma tetapi melalui pemantauan saya, dia baik-baik saja dan tidaklah berkelakuan pelik," katanya.

Katanya, dia mengakui kelakuan dirinya yang kerap bermain telefon bimbit turut menyumbang kepada keinginan anaknya untuk melakukan perkara sama.

"Ada satu masa itu saya tidak dapat meluangkan banyak masa dengannya terutama waktu bermain kerana perlu membalas mesej pelanggan dan membuat 'posting' (hantaran) di media sosial.

"Saya juga perlu bekerja sekurang-kurangnya ada duit poket untuk keluarga memandangkan pendapatan suami tidak menentu ekoran pandemik Covid-19," katanya.

Terdahulu, perkongsiannya melakukan 'prank' menconteng mata anaknya sebagai pengajaran tidak terlalu obses dengan telefon bimbit tular di aplikasi TikTok sehingga meraih 577,000 tontonan setakat ini.

Disiarkan pada: June 12, 2021 @ 8:22pm
d