mutakhir

Dugaan 10 beranak bergelut kesempitan hidup [METROTV]

Oleh Omar Ahmad

Johor Bahru: "Kami sekeluarga hanya makan apa yang ada, selalu juga makan nasi dengan kicap saja," kata ibu kepada lapan anak Noorfazlin Zainal Abidin, 39 yang kini bergelut dengan kesempitan hidup akibat hilang punca pendapatan keluarga.

Noorfazlin berkata, sudah lebih setahun setengah keluarganya hilang pendapatan selepas suami, Syed Mohd Syed Mohd Noh, 45, tidak bekerja sebagai pembantu tukang rumah akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, bagi menampung keperluan keluarga dan anak yang berusia setahun hingga 18 tahun, dia membuat kuih sejuk beku secara kecilan namun masih tidak dapat menampung keperluan keluarganya.

"Saya tiada simpanan, jika dapat jualan, saya akan beli lauk untuk dimakan pada hari itu. Jika tidak kami sekeluarga akan makan lauk semalam.

"Keadaan makin terdesak selepas saya terjatuh pada tahun lalu yang menyebabkan sakit sendi dan lutut. Sehingga kini saya masih mendapatkan rawatan di Klinik Pakar Tulang dan Fisioterapi di Hospital Sultanah Aminah (HSA)," katanya ketika ditemui di kediamannya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Uda Utama di sini, semalam.

Menurut Noorfazlin, anak keduanya Syarifah Nurul Amierah, 17 mempunyai masalah perkembangan otak manakala anak keenam Syed Mohd Asyraf, 5, menghidap Autism Spectrum Disorder dan Hiper Aktif tahap dua.

Katanya, sejak kehilangan punca pendapatan, dia hanya bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat RM400 sebulan, serta belas ihsan jiran dan rakan.

Katanya, anak sulung berusia 18 tahun juga berusaha mencari pekerjaan baru selepas diberhentikan kerja sebagai pembantu kedai makan sejak PKP 3.0.

"Ada masa saya terpaksa berhutang dengan rakan untuk membeli makanan, biarpun tiada jaminan untuk membayar semula, mereka beri kerana kasihankan anak," katanya.

Menurut Noorfazlin, dua anaknya masih mendapatkan rawatan di HSA dan memerlukan perbelanjaan terutamanya kos pengangkutan memandangkan kereta suaminya sudah lama tidak dapat digunakan kerana rosak.

"Saya juga bimbang dengan keadaan Asyraf yang pernah beberapa kali dia cuba terjun tingkap tiada jeriji kerana tidak mampu memasangnya dengan kos RM1,500," katanya.

Sementara itu, Pengurus Pasaraya Econsave Cash and Carry, Mas Imran Adam berkata pihaknya menghulurkan bantuan barangan keperluan bernilai RM1,000 kepada keluarga berkenaan.

"Barangan yang diberikan lampin pakai buang, susu dan pelbagai barangan dapur. Bil air dan elektrik keluarga ini yang tertunggak juga akan diselesaikan. Sekiranya anak sulung mahu bekerja di pasar raya kami sedia menawarkan pekerjaan di cawangan yang terdekat," katanya.

Bagi yang mahu membantu keluarga Noorfazlin boleh hubungi 018-789 0870.

Disiarkan pada: June 13, 2021 @ 2:25pm
d