mutakhir

Kes suami isteri halang polis akan dirujuk TPR

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Subang Jaya: Polis sedang melengkapkan kertas siasatan berhubung kes suami isteri menghalang penjawat awam menjalankan tugas di Jalan Persiaran Kewajipan di sini yang video kejadian itu tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Abd Khalid Othman berkata, suspek lelaki, 33, yang juga warga Pakistan masih dalam tahanan polis manakala isterinya, 42, yamg juga warga tempatan sudah dibebaskan dengan jaminan.

"Kertas siasatan akan dilengkapkan segera dan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk cadangan pertuduhan," katanya kepada pemberita hari ini.

Ditanya sama ada polis mengeluarkan kompaun terhadap wanita itu yang tidak memakai pelitup muka ketika kejadian, beliau berkata, perkara itu juga akan dirujuk kepada TPR.

Harian Metro semalam melaporkan, anggota polis yang menjalankan pemantauan menahan kenderaan pasangan itu di hadapan pusat beli-belah di Jalan Persiaran Kewajipan, Rabu lalu.

Ketika pemeriksaan, wanita melakukan provokasi malah merampas dokumen lelaki Pakistan daripada tangan anggota polis.

Terdahulu, rakaman video berdurasi satu minit 59 saat tular di media sosial menunjukkan seorang wanita memarahi anggota polis selepas dipercayai tidak puas hati suaminya ditahan untuk pemeriksaan.

Berita berkaitan:

Disiarkan pada: June 13, 2021 @ 3:55pm
d