mutakhir

Degil nak berhibur

Oleh Juwan Riduan

Kota Kinabalu: Enam pengunjung pusat hiburan dikompaun kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 selepas ditahan dalam operasi Op Noda di sebuah premis di Jalan Pantai di sini, awal pagi tadi.

Operasi jam 1.40 pagi dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.

Pegawai Turus D7 IPK Sabah, Deputi Superintendan Alhusin Halil berkata, semua yang ditahan berusia 17 hingga 54 tahun termasuk seorang penjaga premis membabitkan tiga lelaki dan empat wanita.

Pemeriksaan lanjut turut mendapati tiga daripadanya adalah warga asing yang tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah manakala tiga lagi positif dadah.

"Pemeriksaan awal mendapati premis berkenaan beroperasi dan melanggar prosedur operasi standard (SOP) PKP yang ditetapkan," katanya.

Katanya, pelanggan dikompaun RM1,500 seorang manakala pemilik premis dikompaun RM10,000.

"Semua ditahan mengikut Perkara 17 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 kerana tidak menjaga penjarakan sosial, mengunjungi pusat hiburan dan tidak mengimbas Mysejahtera," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Alhusin berkata, saringan air kencing ke atas pengunjung turut mendapati seorang lelaki dan dua wanita positif dadah.

Katanya, penjaga premis turut disiasat mengikut Seksyen 4 Ordinan Hiburan Awam (PEO) 1958.

Disiarkan pada: June 13, 2021 @ 4:07pm
d