mutakhir

Maut terkena renjatan elektrik

Oleh Ramli Ibrahim

Gua Musang: Bau busuk dari sebuah rumah membawa kepada penemuan mayat seorang lelaki dalam keadaan rentung dipercayai akibat terkena renjatan elektrik di Kampung Star Baru, di sini, hari ini.

Kejadian menimpa lelaki berusia 56 tahun itu disedari oleh jirannya kira-kira 8 pagi ketika keluar untuk menoreh getah.

Jiran berkenaan Mohd Razali Harun, 54, berkata dia keluar dari rumah untuk pergi menoreh sebelum terhidu bau busuk dari rumah mangsa lalu membuat pemeriksaan.

Menurutnya, ini berikutan dia juga tidak bertemu dengan mangsa sejak tiga hari lalu disebabkan kebiasaannya akan berjumpa dengan lelaki itu pada sebelah petang sebelum ke surau bagi menunaikan solat Maghrib dan Isyak.

"Ada juga perasaan tertanya-tanya selepas tiga hari tidak berjumpa dengan jiran (mangsa) sama ada dia ada di rumah atau pergi ke mana-mana.

"Sebaik masuk ke dalam rumah, saya melihat mangsa terbaring dalam keadaan seluruh badan hangus dan dawai berbelit di kakinya.

"Saya tidak berani untuk mendekatinya kerana dawai itu mungkin masih ada arus elektrik kerana badan mangsa juga masih berasap," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Katanya, dia kemudian melaporkan kepada pihak berkaitan sebelum Tenaga Nasional Berhad (TNB) datang memotong bekalan elektrik dan dawai berkenaan.

Kakak mangsa, Hasnah Mat Nor, 72, ketika ditemui berkata, adiknya tinggal seorang diri di rumah berkenaan selepas berpisah dengan isterinya sejak beberapa tahun lalu.

Menurutnya, arwah selalu datang ke rumahnya di Kampung Lembaga, di sini, tetapi tidak melihatnya sejak tiga hari lalu.

"Kadangkala saya sendiri pergi ke rumah arwah sambil membawa makanan dan tidak sangka berlaku kejadian mengejutkan ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintendan Sik Choon Foo ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Bilik Forensik Hospital Gua Musang (HGM) untuk bedah siasat.

Disiarkan pada: June 13, 2021 @ 4:43pm
d