mutakhir

Didakwa seret kucing atas jalan [METROTV]

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

Teluk Intan: Lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan menyeret kucing di atas jalan, 3 Jun lalu.

Tertuduh, Azizul Salahuddin, 46, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Adilah Mokhtar.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati secara tidak munasabah menyebabkan penderitaan yang tidak perlu kepada haiwan iaitu dengan menyeret kucing di atas jalan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Attaduri, Langkap pada 6.30 petang.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 29(1)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan boleh dihukum mengikut akta sama yang memperuntukkan denda tidak kurang daripada RM20,000 dan tidak lebih daripada RM100,000 atau penjara tidak lebih daripada tiga tahun atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Azimah Che Ismail, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), S Kumaresan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes ditetapkan pada 14 Julai depan.

Sebelum ini, lelaki disyaki menyeret kucing sambil menunggang motosikal sehingga tular di media sosial ditahan polis, 4 Jun lalu.

Disiarkan pada: June 14, 2021 @ 10:25am
d