mutakhir

Suspek kelima pecah masuk rumah Datuk Bandar ditahan

Oleh Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Seorang lagi suspek yang dipercayai terbabit dalam kes pecah rumah rasmi Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Datuk Yew Tung Seang di Jalan Park, Pulau Tikus, di sini, ditahan polis.

Lelaki berusia 32 tahun itu ditahan di kawasan Balik Pulau di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Sahabudin Abd Manan mengesahkan penahanan itu menerusi aplikasi WhatsApp.

"Suspek kelima sudah ditahan awal pagi tadi di kawasan Balik Pulau dan dia berusia 32 tahun," katanya kepada media di sini, hari ini.

Sehingga kini lima lelaki sudah ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian berkenaan.

Kejadian yang berlaku pada kediaman rasmi dua tingkat pada Sabtu lalu itu disedari ahli keluarga Tung Seang pada jam 9 pagi selepas mendapati ruang atas dan bawah rumah berada dalam keadaan berselerak.

Pemeriksaan lanjut mendapati komputer riba, beg jenama Louis Vuitton, telefon bimbit, mata wang asing berjumlah RM5,000 serta sebuah Honda CRV dilarikan penjenayah.

Semakan rakaman litar tertutup (CCTV) mendapati ada kelibat lelaki memasuki kediaman itu pada jam 5 pagi.

Susulan itu, empat suspek yang terdiri daripada lelaki berusia 27 hingga 37 tahun diberkas pada jam 10.15 pagi semalam, di Bagan Ajam, Butterworth, di sini.

Difahamkan tiga daripada suspek yang ditahan itu mempunyai pelbagai rekod jenayah dan dadah manakala dua daripadanya adalah adik-beradik.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan 379A akta yang sama.

Disiarkan pada: June 14, 2021 @ 12:29pm
d