mutakhir

Sakitnya Sindrom Post Covid

Oleh Hajar Umira Md Zaki

Kuala Lumpur: "Walaupun sudah sembuh daripada Covid-19, namun seksa Sindrom Post Covid hanya Tuhan yang tahu," kata bekas pesakit yang mahu dikenali sebagai Aida, 24.

Ketika dihubungi semalam, Aida berkata, dia mengalami pening kepala sebaik sahaja dibenarkan pulang ke rumah selepas pulih daripada wabak itu.

"Ketika makan, tidur dan bangun tidur juga, saya boleh nampak sekeliling saya seperti sedang berpusing secara perlahan. Batuk juga hanya hilang selepas sebulan keluar dari wad.

"Pernah sekali terjadi ketika memandu di sebelah kanan, saya didatangi sakit kepala seperti berpusing dan mata rasa seperti hendak tertutup.

"Pada bulan kedua selepas keluar wad, saya ada usaha untuk bersenam dan joging, namun memang akan rasa hendak pengsan," katanya.

Menurutnya, sebelum ini dia diberikan 18 biji ubat dalam masa sehari bagi merawat jangkitan wabak berkenaan, namun selepas dibenarkan pulang, dos ubat dikurangkan kepada separuh.

Bagaimanapun, dia berkata, keadaan simptom mungkin berbeza pada setiap individu dan selepas keluar dari wad, dia hanya perlu menelan ubat mengikut simptom yang muncul.

Katanya, selepas sembuh daripada jangkitan Covid-19, tubuhnya lemah dan lesu serta mengambil masa empat bulan untuk pulih.

Aida berkata, dia yang dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh pada November tahun lalu pernah dipindahkan ke wad pemerhatian berikutan keadaannya yang lemah.

"Ketika itu, pertama kali saya rasa bernafas namun seperti hanya separuh oksigen masuk ke dalam badan dan hendak bernafas pun pakai mulut sebelum saya diberikan bantuan oksigen.

"Sebelum ini saya tidak pernah terfikir akan duduk di hospital dalam jangka masa lama, pakai oksigen dan makan ubat yang banyak dalam masa sehari. Cukuplah hanya sekali," katanya.

Sementara itu, bekas pesakit Covid-19 kategori empat, Abdul Rani Ismail, 61, turut menghadapi Sindrom Post Covid sebaik sahaja dibenarkan pulang dari Hospital Sungai Buloh, bulan lalu.

Menurut anaknya, Nur Afiqah Abdul Rani, 31, antara simptom yang paling kerap dihadapi oleh bapanya adalah sakit kepala dan cepat letih.

"Bapa saya sering mengadu cepat letih dan bila baru mula hendak buat sesuatu kerja, dia beritahu kami dia penat.

"Mungkin ini juga adalah faktor usia dan kesihatan memandangkan bapa saya ada masalah jantung," katanya.

Nur Afiqah berkata, selain cepat keletihan dan sakit kepala, suara dan deria rasa bapa turut belum pulih sepenuhnya sehingga kini.

"Suara bapa juga kurang dapat didengari dan hanya baru-baru ini, suaranya kembali seperti biasa dan dia kata rasa payau pada lidah," katanya.

Menurutnya, ketika diberikan rawatan di Hospital Sungai Buloh, Abdul Rani diberikan rawatan sedutan gas atau 'nebulizer' sesuai dengan keadaannya sebagai pesakit Covid-19 kategori 4.

Nur Afiqah dan beberapa ahli keluarganya juga adalah pesakit Covid-19, namun hanya menjalani kuarantin di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19, Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang kerana mereka pesakit kategori pertama.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Disiarkan pada: June 14, 2021 @ 1:28pm
    d