mutakhir

Bantuan Nadma bantu penduduk terjejas Covid-19

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

Kuala Terengganu: "Masih ramai penduduk yang diarahkan kuarantin kerana Covid-19 dan terjejas pendapatan belum membuat permohonan bantuan yang disediakan, " kata Timbalan Ketua Pengarah (Pasca Bencana) Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) Mohamad Azhan Md Amir.

Beliau ditemui selepas lawatan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Risiko Rendah Covid-19 (PKRC) Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) Cawangan Chendering, di sini, hari ini.

Mohamad Azhan berkata, Nadma menguruskan tiga jenis bantuan untuk kes berkaitan Covid-19 di negara ini.

"Bantuan pertama membabitkan bantuan bakul makanan yang diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk diagihkan kepada rakyat yang terjejas susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara.

"Seterusnya bantuan khas kepada warganegara yang terjejas kerana arahan kuarantin Covid-19. Mereka diberikan RM100 untuk sehari dan maksimum 14 hari.

"Bantuan ketiga ialah sumbangan 'one off' kepada waris kepada pesakit Covid-19 yang meninggal dunia sebanyak RM5,000. Semua maklumat berkaitan bantuan yang disediakan itu tersedia di dalam portal Nadma," katanya.

Tambahnya, pelbagai hebahan yang dijalankan Nadma melalui media elektronik dan cetak bagi memastikan bantuan yang disediakan melalui itu dipohon masyarakat yang menepati syarat dan kriteria ditetapkan.

"Mesti ada syarat kelayakan tertentu ditetapkan untuk memastikan bantuan disediakan itu hanya disalurkan kepada orang berhak dan layak sahaja.

"Jika pesakit sudah ada pendapatan tetap, tak payahlah mohon kerana bantuan itu hanya untuk penduduk yang terjejas, sebagai contoh bekerja sendiri.

"Apabila mereka diarahkan kuarantin kerana positif atau mempunyai kontak rapat kes positif, mereka tidak boleh keluar bekerja seterusnya tiada pendapatan sepanjang tempoh itu," katanya.

Menurutnya, hanya sumbangan 'one off' kepada waris kepada pesakit Covid-19 yang meninggal dunia sahaja boleh dipohon oleh semua warganegara tidak mengira status ekonomi.

"Jika seseorang itu meninggal kerana Covid-19 dan mempunyai surat pengesahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), waris mereka boleh membuat permohonan segera," katanya.

Disiarkan pada: June 15, 2021 @ 3:50pm
d