mutakhir

Tikam isteri 10 kali kerana cemburu

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Kajang: Cemburu dipercayai motif utama seorang lelaki menikam isterinya dalam kejadian dilaporkan berlaku di rumah mereka di Sungai Ramal, di sini, Ahad lalu.

Suspek mendakwa isterinya itu menjalinkan hubungan dengan lelaki lain sebelum menikam mangsa menggunakan senjata tajam sebanyak 10 kali.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 6.52 petang selepas menerima panggilan Mers 999 dari orang awam.

Menurutnya, orang awam memaklumkan seorang wanita warga Indonesia, 40-an ditikam di dalam rumahnya.

"Mangsa dimasukkan ke Zon Kritikal seterusnya dipindah ke wad di Hospital Kajang.

"Wanita itu (mangsa) mengalami kecederaan parah akibat ditikam dengan senjata tajam dan hasil pemeriksaan awal doktor mendapati terdapat empat kesan tikaman di bahagian dada, masing-masing dua kesan tikaman di tangan kiri dan kaki kanan, satu tikaman di kaki kiri dan satu tikaman di bawah dagu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Zaid berkata, polis sedang mengesan suspek yang juga suami mangsa warga Indonesia dikenali Johari atau Jo, 40-an.

"Punca kejadian disyaki akibat cemburu mangsa mempunyai hubungan dengan lelaki lain. Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan," katanya.

Beliau berkata, polis meminta mana-mana individu yang ada maklumat berhubung kejadian ini diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajangditalian 03-89114222 atau mana-mana balai polis atau terus menghubungi pegawai penyiasat kes Inspektor Suresh di talian 017-4333795.

Disiarkan pada: June 15, 2021 @ 4:23pm
d