mutakhir

Bomba halang lelaki cuba terjun bangunan [METROTV]

Oleh Mohd Roji Kawi

Kuching: Tindakan pantas anggota bomba berjaya menyelamatkan seorang lelaki yang cuba terjun dari bangunan empat tingkat di Bandar Baru Batu Kawa (MJC) di sini, hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 6.24 pagi.

Beliau berkata, kejadian itu mencemaskan orang ramai apabila lelaki berusia 34 tahun berasal dari Sri Aman itu berdiri di penjuru bumbung bangunan empat tingkat itu.

"Lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Lintang dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan daripada orang awam yang cemas melihat kejadian itu.

"Setibanya di lokasi, anggota bomba bersama ibu lelaki terbabit berusaha memujuknya supaya tidak terjun dari bangunan berkenaan," katanya.

Menurutnya, usaha itu berjaya pada 8 pagi dan lelaki terbabit kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Disiarkan pada: June 16, 2021 @ 9:42am
d