mutakhir

'Telefon pintar sumbangan Yayasan YTL, sesuai untuk pelajar ikuti PdPR'

Oleh Balqis Jazimah Zahari

Ipoh: Menteri Besar Perak Datuk Saarani Mohamad menegaskan, telefon pintar yang diberi secara percuma oleh Yayasan YTL kepada pelajar bersesuaian untuk Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dan sudah berjaya membantu ribuan pelajar dalam kalangan B40.

Saarani berkata demikian sebagai mengulas berhubung isu telefon pintar yang didakwa berkualiti rendah dan tidak memenuhi piawaian PdPR pelajar seperti yang tular di media sosial, termasuk dibidas seorang ahli parlimen pembangkang baru-baru ini.

"Saya tidak pasti pula apa punca yang menyebabkan ada orang mempertikaikan sumbangan percuma ini. Ini sumbangan percuma oleh Yayasan YTL.

"Kita ini, bila kita susah orang sedekah apapun kita terima, tiadalah hendak meminta-minta, orang bagi ikan sardin jadi ikan sardinlah kita makan, tidaklah minta hendak makan ayam pula.

"Jadi kita hendak memberitahu bahawa telefon pintar itu diberikan secara percuma, kami menerimanya dan sudah mengedarkannya kepada pelajar," katanya pada sidang media secara maya di sini, hari ini.

Justeru, beliau menasihati mereka yang membuat dakwaan itu untuk memandangnya secara positif khususnya dalam situasi pandemik Covid-19.

"Lebih baik ada daripada tiada, kalau tidak ada sumbangan Yayasan YTL ini, bermakna ribuan anak-anak dalam kalangan B40 tidak ada peranti untuk mereka ikuti PdPR.

"Dengan spesifikasi yang ada itu, mencukupi untuk mengikuti PdPR, saya nasihatkan kepada anak-anak di sana 'daripada tiada lebih baik ada', jadi gunakan apa yang ada dan kemudian, ia akan datang kemudahan lain, Insya-Allah," katanya.

Dalam pada itu, Saarani turut mengulas apabila ditanya pemberita berkenaan telefon pintar sama yang didakwa terbakar sehingga turut juga menjadi kecaman hebat pelbagai pihak di media sosial yang melabelkan kerajaan negeri terlalu berkira dalam memberi sumbangan.

"Daripada 100,000 yang sudah diedar ke seluruh negara, hanya satu yang (mungkin) terbakar, takkan itu kita hendak jadikan ia sebagai satu punca untuk kita membuat siasatan," katanya.

Menurut Saarani, pihaknya pada masa mengalu-mengalukan syarikat lain yang mahu bekerjasama untuk menghulurkan sumbangan bagi kemudahan pelajar mengikuti PdPR.

"Saya sangat-sangat berterima kasih kepada Yayasan YTL dan mengalu-mengalukan mana-mana lagi syarikat yang hendak memberi sumbangan percuma kepada kerajaan negeri, khususnya kepada orang miskin dalam apa jua bentuk bantuan untuk tujuan pembelajaran," katanya.

Disiarkan pada: June 16, 2021 @ 3:48pm
d