mutakhir

Pekerja tikam penyelia dengan pemutar skru

Oleh Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Seorang lelaki cedera ditikam di kanan perut dengan pemutar skru oleh rakan sekerjanya selepas berlaku pergaduhan di tempat kerja mereka di bandar raya ini, semalam.

Terdahulu, pada kejadian 3 petang, mangsa berusia 33 tahun yang juga penyelia di tempat kerja terbabit dikatakan menegur lelaki terbabit berkaitan kerja yang dilakukannya.

Bagaimanapun, berlaku perselisihan faham antara mereka sehingga menyebabkan pergaduhan.

Lelaki itu kemudiannya menikam mangsa sebelum melarikan diri.

Berikutan itu, mangsa yang dalam keadaan berlumuran darah datang ke Balai Polis Alor Setar untuk memaklumkan kejadian.

Menurut sumber, mangsa berasal dari pekan Pendang manakala individu yang menikamnya berusia 37 tahun dan menetap di sekitar Lorong Seri di sini.

"Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk rawatan.

"Lelaki yang menikamnya ditahan polis di tepi jalan Kampung Gerigis, 5.50 petang semalam," katanya.

Semakan mendapati, lelaki itu mempunyai tiga rekod jenayah termasuk dadah.

"Turut dirampas pemutar skru untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian dan kes masih disiasat.

Disiarkan pada: June 16, 2021 @ 8:33pm
d