mutakhir

Lelaki 'rembat' pakaian dalam wanita ditahan

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Petaling Jaya: Tindakan seorang pemuda yang gemar mencuri pakaian wanita termasuk pakaian dalam di ampaian rumah mangsa di sebuah kondominium Bandar Sunway di sini, terbongkar sebelum ditahan polis, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid berkata, lelaki berusia 23 tahun itu ditahan di rumahnya sejurus menerima laporan dibuat mangsa.

Katanya, wanita berusia 35 tahun itu menyedari pakaiannya hilang sejak kebelakangan ini dipercayai dicuri.

"Pada hari kejadian jam 10.30 pagi, dia melihat seorang lelaki berlegar-legar di kawasan lif dan mengesyaki lelaki itu terbabit dengan kehilangan pakaian miliknya sebelum ini.

"Dia kemudian memaklumkan kejadian kepada suami sebelum melaporkan kepada pihak pengurusan kondominium.

"Mereka berjumpa suspek dan lelaki itu mengakui mencuri pakaian wanita lalu menunjukkan tempat simpanan pakaian terbabit di dalam bilik tidur rumahnya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Fakhruddin berkata, polis yang menerima laporan mangsa kemudian ke lokasi kejadian jam 12.15 tengah hari dan menahan suspek.

Menurutnya, polis turut merampas 58 pakaian wanita dan sebatang kayu yang sudah diubahsuai dipercayai digunakan untuk mencuri pakaian berkenaan.

Beliau berkata, suspek ditahan reman empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Katanya, suspek akan didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya esok, mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 kerana gagal memberi keterangan.

Disiarkan pada: June 17, 2021 @ 6:39pm
d