mutakhir

MKI bincang SOP ibadat korban, solat sunat Aidiladha

Oleh Samadi Ahmad

Putrajaya: Persoalan mengenai prosedur operasi standard (SOP) ibadat korban serta solat sunat Aidiladha sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menjadi agenda perbincangan Jawatankuasa Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI), semalam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, mesyuarat jawatankuasa MKI itu disertai mufti, Ahli Dilantik Majlis Raja-Raja, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia (KKM), Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan wakil Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Beliau berkata, muzakarah yang berlangsung secara maya itu turut membincangkan SOP solat Jumaat, usul masjid sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dan isu penghinaan agama Islam.

Katanya, resolusi mesyuarat itu akan disembah maklum kepada Majlis Raja-Raja dan dibawa kepada pihak berkuasa negeri untuk pertimbangan dan keputusan di peringkat negeri masing-masing.

"Saya memohon Ashabus Samahah Mufti-Mufti untuk sama-sama memanjatkan doa agar rantaian wabak Covid-19 dapat diputuskan di bumi Malaysia ini dan rakyat dapat menjalani kehidupan beragama yang lebih sempurna," katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Umat Islam di Malaysia dijangka menyambut Aidiladha pada 20 Julai ini.

Disiarkan pada: June 18, 2021 @ 10:27am
d