mutakhir

Warga emas terperangkap dalam timbunan sampah

Oleh Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Lelaki warga emas diselamatkan selepas terperangkap dalam timbunan sampah di rumahnya di Apartmen Bukit Saujana, Paya Terubong, di sini, semalam.

Difahamkan, timbunan sampah itu berpunca daripada tindakan lelaki terbabit yang gemar mengumpul barangan terpakai sejak 10 tahun lalu.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Paya Terubong, Mohd Sarmizi Jusoh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 8.02 malam.

Katanya, panggilan dibuat oleh anak mangsa yang mendakwa bapanya terperangkap dan tidak dapat keluar dari rumahnya di tingkat 12 apartmen itu.

"Ketika tiba di lokasi, didapati rumah yang didiami lelaki berusia 70 tahun itu dilitupi sepenuhnya oleh timbunan sampah.

"Anggota bomba mengambil masa kira-kira 50 minit bagi mengeluarkan mangsa dengan memotong jeriji besi menggunakan peralatan khas," katanya ketika dihubungi, di sini.

Mohd Sarmizi berkata, anak mangsa mendakwa bapanya tinggal seorang diri dan sudah lama tidak keluar dari rumahnya.

Difahamkan, anak lelaki itu pula tinggal di blok yang sama, tetapi di unit berlainan.

"Anaknya mendakwa sudah berkali-kali menasihati bapanya supaya berhenti mengumpul barangan lusuh selain jiran yang turut mengadu, namun tidak diendahkan mangsa.

"Mangsa diserah kepada petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang turut sama berada di lokasi bagi tindakan lanjut," katanya.

Disiarkan pada: June 18, 2021 @ 7:59pm
d