mutakhir

Sidang DUN Melaka dijangka Julai [METROTV]

Oleh Nazri Abu Bakar

Melaka: Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) dijangka diadakan pertengahan Julai selepas mendapat izin Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr Mohd Ali Rustam.

Timbalan Speaker DUN, Datuk Wira Ghazale Muhamad berkata, kerajaan negeri dan barisan ahli DUN bersedia mengadakan persidangan itu selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menzahirkan pandangan ia perlu dilakukan dalam masa terdekat.

Katanya, perbincangan sudah dilakukan di peringkat kerajaan negeri bagi memuktamadkan tarikh persidangan berkenaan.

"Justeru, kami sedang berunding dengan Speaker DUN, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang akan berurusan dengan Yang di-Pertua Negeri bagi mendapat izin untuk bersidang.

"Kita akan dapatkan Julai sebagai gazet tarikh dan ia memerlukan tempoh dua minggu, jadi mungkin dijangka diadakan pada pertengahan Julai.

"Bagaimanapun, perkara itu tertakluk kepada izin Yang di-Pertua Negeri," katanya selepas menghadiri penyerahan sumbangan makanan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Prihatin bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Zoo Melaka di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MHPTJ), Datuk Shadan Othman.

Ghazale berkata, pihaknya akan memaklumkan butiran lanjut mengenai persidangan itu selepas mendapat tarikh muktamad.

Jelasnya, terdapat isu yang perlu dibincangkan dalam kalangan Ahli Dewan terutama menjayakan gerakan ekonomi serta kelangsungan hidup rakyat yang terjejas dalam musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Disiarkan pada: June 19, 2021 @ 3:18pm
d