mutakhir

Lebih 4 jam keluarkan mayat [METROTV]

Oleh Balqis Jazimah Zahari

Ipoh: Pihak bomba mengambil masa lebih empat jam untuk mengeluarkan mayat seorang wanita yang tersepit selepas kereta dipandu terperosok dibawah lori dalam kemalangan di hadapan sebuah restoran di Jalan Chemor–Jelapang, di sini, hari ini.

Dalam kejadian itu, mangsa Noor Aishah Mohd Tahir, 26, maut di lokasi kejadian akibat parah di bahagian kepala.

Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Nor Rasidamayati Abd Rasid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.28 pagi.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian didapati sebuah kereta Proton Persona berada di bawah lori yang mana seorang mangsa wanita berada di dalam kenderaan itu.

"Tindakan awal yang diambil adalah membersihkan tumpahan minyak dan memotong punca elektrik bagi memastikan operasi berjalan dengan selamat.

"Pada awalnya pasukan bomba menghadapi sedikit kesukaran untuk mengeluarkan mangsa kerana kereta terbabit dihempap lori yang membawa muatan palet ayam," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian di sini, hari ini.

Nor Rasidamayati berkata, pihaknya terpaksa menggunakan kren untuk mengalihkan lori sebelum mengeluarkan mayat mangsa.

"Operasi dengan kekuatan tujuh anggota mengambil masa selama empat jam setengah untuk melakukan mengeluarkan mangsa dan operasi selesai sepenuhnya pada jam 2.08 petang," katanya.

Menurutnya, difahamkan lori berkenaan dari Lebuhraya Ipoh Lumut menghala keluar ke Meru, manakala kenderaan mangsa dari sungai Siput hendak menghala ke Batu Gajah.

"Mangsa mengalami kecederaan paling teruk di kepala dan setakat ini punca kemalangan masih dalam siasatan pihak polis.

"Sewaktu bomba tiba, pemandu lori sudah melarikan diri dan polis dalam proses mengesan pemandu lori berkenaan," katanya.

Disiarkan pada: June 19, 2021 @ 4:51pm
d