mutakhir

Pengambilan khas 18,702 guru Julai ini [METROTV]

Oleh Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan melakukan pengambilan khas 18,702 pegawai perkhidmatan pendidikan gred DG41 secara 'one off' bagi mengatasi masalah kritikal kekurangan guru terutama di empat negeri.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, empat negeri itu ialah Selangor, Johor, Sarawak dan Sabah yang berdepan dengan kekurangan guru paling tinggi ketika ini.

"KPM akan mengeluarkan iklan tawaran pada 7 Julai ini dan penempatan bakal guru secara berperingkat akan dibuat bermula Oktober.

"Pengambilan guru terbesar dalam tempoh singkat ini bagi memastikan isu kekurangan guru dapat diselesaikan kerana sudah berlarutan agak lama.

"Jika kita tidak cari titik noktah untuk menutup jurang kekurangan ini, maka sampai bila-bila isu ini tidak akan selesai," katanya dalam sidang media khas secara hibrid, hari ini.

Menurutnya, KPM bekerjasama dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) selepas mendapat kelulusan khas pengisian jawatan daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

"SPP bersetuju untuk kolaborasi strategik dengan KPM dalam konteks pengambilan guru.

"Kita buat kajian terdapat keperluan mewujudkan kluster opsyen pelajaran iaitu kita lihat dan susun kelayakan atau kelulusan bakal calon berdasarkan kluster tertentu bagi membolehkan sumber bekalan lebih luas untuk memilih calon berkelayakan," katanya.

Dr Radzi berkata, KPM berdepan cabaran kekurangan calon guru dari Institut Pendidikan Guru (IPG) selain ketidaksepadanan opsyen mata pelajaran.

"Berdasarkan data yang kita ada, mata pelajaran dengan kekurangan guru yang tinggi di sekolah rendah ialah Bahasa Inggeris, Sejarah, Pendidikan Khas, Pendidikan Agama Islam dan Teknologi Maklumat dan Komunikasi.

"Manakala untuk sekolah menengah pula ialah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Khas, Pendidikan Agama Islam serta Reka Bentuk dan Teknologi," katanya.

Menurutnya, ramai graduan di luar tertanya-tanya walaupun mempunyai kelayakan dalam bidang pendidikan, tetapi ada antara mereka tidak dipanggil dan mendapat ruang untuk mengajar.

"Antara cabaran utama dalam konteks ini adalah ketidakpadanan opsyen mata pelajaran iaitu KPM memerlukan sejumlah guru untuk mata pelajaran tertentu tetapi bekalan yang ada untuk mata pelajaran ini amat terhad.

"Sebaliknya mata pelajaran opsyen sudah penuh mungkin ramai dan disebabkan ketidakpadanan ini wujud keadaan KPM mengambil guru baru bagi memenuhi kekosongan yang ada.

"Jika kita lihat berdasarkan data, negeri kekosongan guru tertinggi seperti Sarawak, bukan saja jumlah guru kurang adalah yang tertinggi tetapi peratusan pengisian juga rendah berbanding di tempat lain," katanya.

Disiarkan pada: June 20, 2021 @ 11:59am
d