mutakhir

Pelarian layak terima suntikan vaksin - Suhakam

Oleh Tuty Haryanti Ahmad Rodzi

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) meminta kerajaan memastikan pelarian di negara ini dimasukkan dalam program imunisasi kebangsaan yang giat dijalankan ketika ini.

Suhakam dalam kenyataan hari ini, turut meminta kerajaan menyediakan tempat yang selamat untuk mereka menerima suntikan vaksin Covid-19.

"Dalam usaha menangani pandemik Covid-19, Suhakam berharap kerajaan dapat menegakkan prinsip tiada sesiapa yang ketinggalan, dengan memastikan pelarian turut dimasukkan ke dalam program imunisasi kebangsaan," katanya.

Suhakam juga menggesa kerajaan untuk menerima pakai dasar perlindungan pelarian yang komprehensif, inklusif, tidak mendiskriminasi dan berjangka panjang di negara ini.

Selain itu, katanya, kerajaan perlu mengekalkan kepimpinan pada peringkat antarabangsa dari segi mengukuhkan kerjasama dengan komuniti serantau dan antarabangsa termasuk ASEAN, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

"Usaha itu bertujuan untuk mengenal pasti penyelesaian yang menyeluruh terhadap isu-isu pelarian yang sudah sekian lama berlarutan di Asia Tenggara.

"Kerajaan juga perlu berjanji meneruskan usaha advokasi untuk penyertaan Konvensyen Berkaitan Status Pelarian 1951 dan Protokol Pilihan 1967," katanya.

Sementara itu, kenyataan itu turut memaklumkan Hari Pelarian Sedunia diraikan setiap 20 Jun sebagai memperingati dan memberikan penghormatan kepada kekuatan serta keberanian mereka yang terpaksa meninggalkan negara asal untuk menyelamatkan diri daripada konflik atau penganiayaan.

Oleh itu Suhakam meminta rakyat mendukung tema 'Together we heal, learn and shine' yang mengingatkan bahawa dunia tidak akan dapat mengatasi Covid-19 jika pelarian atau sesiapa jua diabaikan kerana tiada siapa yang selamat sehingga semuanya selamat.

Katanya, berdasarkan data Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Pelarian (UNHCR) di Malaysia, sehingga Mei 2021, terdapat 179,570 pelarian dan pencari suaka yang berdaftar di mana 45,980 daripadanya adalah kanak-kanak di bawah usia 18 tahun.

"Kerentanan masih berlaku kerana akses kepada keperluan asas seperti pendidikan, penjagaan kesihatan dan perlindungan sosial masih belum diberikan walaupun kepada pemegang kad UNHCR.

"Penting adakan kerjasama antara UNHCR di Malaysia, agensi kerajaan dan organisasi masyarakat sivil kerana usaha sama seperti ini dapat memastikan pelarian mendapat layanan dan perlindungan yang diperlukan," katanya.

Justeru Suhakam menyeru rakyat Malaysia supaya memahami situasi buruk dihadapi oleh pelarian yang terpaksa melarikan diri dari negara asal ke perairan negara ini untuk mencari perlindungan sementara waktu demi keselamatan dan kelangsungan hidup mereka.

"Rakyat harus memastikan komuniti pelarian di negara ini dilayan dengan bermaruah dan mendapat keperluan asas mereka kerana pada akhirnya, inilah yang dapat membawa kita menuju ke arah masyarakat yang lebih berperikemanusiaan, adil, inklusif, dan saksama," katanya.

Disiarkan pada: June 20, 2021 @ 1:04pm
d