mutakhir

Seorang pekerja binaan dihempap konkrit meninggal dunia [METROTV]

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Petaling Jaya: Polis mengesahkan seorang daripada dua pekerja pembinaan yang dihempap konkrit runtuh di Lebuh Raya Baru Lembah Klang (NKVE) berhampiran susur keluar Kota Damansara, di sini, meninggal dunia, hari ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kematian mangsa kira-kira jam 4 petang tadi.

"Saya difahamkan mangsa dalam keadaan kritikal ketika dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut. Mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital berkenaan jam 4 petang tadi.

"Hasil bedah siasat dilakukan terhadap mangsa mendapati dia meninggal dunia disebabkan trauma pelbagai dan disfungsi pelbagai organ akibat serangan jantung," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, di sini, hari ini.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan dua pekerja pembinaan cedera selepas konkrit di NKVE berhampiran susur keluar Kota Damansara, di sini, yang sedang dalam pembinaan runtuh, semalam.

Kedua-dua mangsa adalah pekerja warga Bangladesh berusia antara 20 hingga 40 tahun dilaporkan sedang melakukan kerja di bawah konkrit berkenaan yang kemudian runtuh dari ketinggian 12 meter.

Sementara itu, Projek Lintasan Damansara-Shah Alam Berhad (Prolintas) selaku pemaju projek pembinaan Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH), dalam satu kenyataan memaklumkan operasi pembersihan perancah besi atau 'scaffolding' masih dijalankan di lokasi, hari ini.

Menurutnya, operasi itu terpaksa dihentikan sementara jam 3 petang tadi ekoran hujan lebat dan kerja-kerja pembersihan akan bersambung semula esok.

"Justeru itu, pengguna lebuh raya diminta berhati-hati ketika melalui kawasan berkenaan dengan lorong kanan dari kedua-dua arah NKVE ditutup dan laluan kontra diaktifkan untuk melancarkan trafik," katanya.

Berita berkaitan

Perancah besi jatuh: Laporan lengkap seminggu [METROTV]

[UPDATE] Kerja alih runtuhan, dua lorong ditutup kedua-dua arah [METROTV]

Konkrit lebuh raya dalam pembinaan runtuh, 2 pekerja cedera

Disiarkan pada: June 20, 2021 @ 7:18pm
d