mutakhir

Penunggang motosikal parah bertembung dengan ambulans

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Hulu Selangor: Penunggang motosikal parah selepas bertembung dengan sebuah ambulans di Kilometer 33 Jalan Persekutuan Kuala Lumpur-Ipoh, berdekatan persimpangan lampu isyarat Serendah di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan Arsad Kamaruddin berkata, polis menerima laporan kejadian itu pada 8.05 malam.

Menurutnya, kemalangan berlaku ketika ambulans dipandu petugas lelaki berusia 45 tahun bersama dua pembantu perubatan kesihatan dalam perjalanan dari Hospital Selayang ke Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB).

"Sebaik tiba di lokasi, ambulans meneruskan perjalanan kerana lampu isyarat hijau, namun secara tiba-tiba sebuah motosikal keluar dari simpang Kampung Baru Serendah menyebabkan ambulans tidak sempat mengelak, lalu melanggar penunggang terbabit.

"Kemalangan itu mengakibatkan penunggang iaitu lelaki berusia 37 tahun parah di kepala dan kaki kanan, manakala pemandu dan penumpang ambulans tidak cedera," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Selayang untuk rawatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kemalangan itu untuk menyalurkannya dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.

Disiarkan pada: June 21, 2021 @ 10:06am
d