mutakhir

OP Khas Samseng Jalanan: 12 remaja ditahan

Oleh Ruwaida Md Zain

Klang: Seramai 12 remaja ditahan dan 24 motosikal disita dalam satu Op Khas Samseng Jalanan di Lebuhraya Selat Klang Utara (Shapadu Highway) di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, operasi yang bermula jam 5 petang hingga 10 malam itu adalah operasi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman bersama Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara.

"Hasil operasi dijalankan, polis menahan seramai 36 lelaki dan dua perempuan berumur di antara 16 tahun hingga 25 tahun dan dibawa ke IPD Klang Utara untuk pemeriksaan lanjut.

"Daripada jumlah itu, seramai 12 remaja ditahan kerana berlumba dan diambil tindakan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 (memandu secara melulu dan merbahaya)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nurulhuda berkata, dalam operasi itu juga sebanyak 35 motosikal dibawa ke IPD Klang Utara bagi pemeriksaan lanjut.

"Daripada jumlah itu, 24 buah motosikal disita mengikut Seksyen 64 APJ 1987 manakala 92 keping saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas, antaranya kesalahan ubahsuai (17), lesen memandu (16), nombor plat (34).

"Polis turut mengenakan kompaun kepada 38 individu terbabit mengikut Seksyen 16 Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (APPPB) 1988 kerana kesalahan berkumpul di tempat awam untuk berlumba haram dan tiada penjarakan fizikal," katanya.

Beliau berkata, masyarakat disarankan tidak terbabit dengan kegiatan lumba haram dan ibu bapa hendaklah memantau pergerakan anak supaya tidak terbabit kegiatan lumba haram, berkumpul atau keluar rumah tanpa tujuan.

"Polis IPD Klang Utara akan menjalankan operasi Dan penguatkuasaan berterusan bagi membendung kegiatan lumba haram," katanya.

Disiarkan pada: June 21, 2021 @ 1:36pm
d