mutakhir

Simpanan bersara ibu tunggal lesap angkara 'cinta maya'

Oleh Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Kerani syarikat swasta di sini, kerugian sebanyak RM927,400 selepas diperdaya 'teman lelaki' menerusi penipuan love scam.

Ibu tunggal berusia 58 tahun itu menggunakan simpanan wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi persaraannya untuk membantu lelaki berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pulau Pinang Asisten Komisioner Mohd Rosni Mohd Lazim berkata, mangsa berkenalan dengan lelaki berkenaan menerusi aplikasi Instagram (IG).

Menurutnya, lelaki memperkenalkan dirinya sebagai 'William Schang' dan suspek mengaku tinggal di Amerika Syarikat (AS) sebelum bertukar nombor telefon dengan mangsa.

"Dalam tempoh berkenalan dan menjalinkan hubungan cinta secara maya, suspek meminta pinjaman wang daripada mangsa selepas mendakwanya mempunyai masalah kewangan.

"Sepanjang tempoh perkenalan selama setahun 10 bulan itu, mangsa diminta membuat bayaran ke lima akaun pemilik tempatan kononnya bagi membiayai urusan perniagaan suspek di Amerika Syarikat," katanya di sini, hari ini.

Mohd Rosni berkata, mangsa melakukan 50 transaksi sejak 9 April 2019 hingga Februari lalu membabitkan wang hampir RM1 juta dan hanya menyedari dirinya ditipu apabila gagal menghubungi suspek selepas dia memasukkan kesemua wang berkenaan.

Menurutnya, mangsa kemudian tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah di sini, semalam.

"Hasil siasatan awal pihak polis tidak menolak kemungkinan suspek menggunakan keldai akaun bagi setiap transaksi.

"Semakan mendapati empat daripada lima nombor akaun itu mempunyai laporan bersangkut di beberapa negeri lain," katanya lagi.

Menurutnya, siasatan lanjut berhubung kejadian masih dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu menipu.

Mohd Rosni menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati dengan hubungan percintaan di platform media sosial.

Katanya, orang ramai dinasihati supaya tidak mudah terpedaya dengan kata manis serta pujuk rayu individu tidak dikenali dan seterusnya memberikan bantuan kewangan tanpa usul periksa.

"Semakan nombor akaun yang diberikan boleh dibuat menerusi https://ccid.rmp.gov.my/semakmule bagi mengelakkan menjadi mangsa sindiket penipuan," katanya.

Disiarkan pada: June 21, 2021 @ 2:15pm
d