mutakhir

Wang berniaga seminggu dilarikan pekerja

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

Teluk Intan: Seorang pengusaha restoran capati warga Pakistan kerugian RM3,750 selepas wang hasil hasil jualannya dilarikan pekerjanya dalam kejadian di Langkap, di sini, semalam.

Dalam kejadian pada 10.30 pagi itu, lelaki berusia 44 tahun yang mempunyai taraf penduduk tetap itu menyedari wang berniaga selama seminggu

yang diletakkan dalam laci kaunter restorannya sudah tiada.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, ketika itu, suspek iaitu lelaki senegara yang juga pembuat roti nan di restoran mangsa tiada di premis.

Menurutnya, mangsa yang kemudiannya mencari pekerjanya itu di biliknya mendapati semua baju dan beg pakaian lelaki berkenaan sudah tiada.

"Restoran berkenaan mempunyai tiga pekerja warga Pakistan termasuk suspek dan laci kaunter

hanya diuruskan oleh mangsa dan seorang lagi pekerjanya.

"Mangsa mengesyaki suspek mengambil wang itu sebelum melarikan diri dan mendakwa lelaki itu mungkin membuka laci menggunakan kunci yang diambilnya di atas almari di belakang kaunter yang diletakkan oleh mangsa selepas habis berniaga," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahmad Adnan berkata, mangsa menerima suspek berkerja dengannya sejak lebih dua bulan lalu selepas dikenali melalui bapa saudaranya yang memintanya mengambil lelaki berkenaan berkerja sebagai pembuat roti nan.

"Restoran berkenaan beroperasi sejak setahun lalu dan bahagian atas dijadikan asrama untuk pekerjanya termasuk suspek," katanya.

Beliau berkata, suspek dipercayai tinggal dan bekerja di negara ini tanpa dokumen yang sah.

"Usaha untuk mendapatkan butiran diri suspek serta mengesannya sedang giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan," katanya.

Disiarkan pada: June 21, 2021 @ 3:54pm
d