mutakhir

Pindah ke kebun kelapa sawit untuk elak jangkitan Covid-19

Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

Jelebu : "Bimbang dijangkiti Covid-19 antara faktor mengapa saya dan isteri berpindah dan tinggal di dalam kebun kelapa sawit sebelum anak-anak turut ikut serta," kata Masran Hassan, 67 dari Felda Pasoh Empat.

Bapa kepada 11 anak itu berkata, dia sebelum ini pernah membina sebuah pondok di dusun durian sebagai tempat berteduh sementara ketika musim durian namun pondok itu terbakar pada 2019.

" Selepas itu, saya dibantu oleh anak membina pondok di kebun kelapa sawit ini dengan kos RM7,000 bagi menggantikan pondok yang terbakar.

" Apabila Covid-19 melanda, saya terus jadikan pondok di sini sebagai rumah kedua apatah lagi isteri yang tidak sihat selesa tinggal dalam persekitaran seperti ini," katanya ketika ditemui di pondoknya di sini, hari ini.

Masran berkata, berikutan lima ahli keluarganya yang ramai tinggal dalam satu rumah di tanah rancangan berkenaan, pondok itu juga sebahagian tujuan untuk mengasingkan ahli keluarganya.

" Ketika hari raya lalu, ada polis datang ke rumah membuat pemeriksaan dan mereka terkejut apabila terlalu ramai tinggal di dalam rumah tetapi apa pilihan yang kita ada ketika itu untuk membuat pengasingan berikutan anak-anak semua bekerja di sini dan tinggal bersama saya.

" Bekalan makanan dibeli setiap hari oleh anak-anak di kedai terletak kira-kira lima kilometer dari pondok manakala bekalan air dibawa menggunakan lori setiap dua kali sehari," katanya.

Menurutnya, bekalan elektrik pula dijana daripada generator dengan kos petrol RM20 sehari.

Sementara itu, Masran berkata, dia turut gembira kerana menerima suntikan vaksin dos pertama hari ini di Pusat Pemberian Vaksin ( PPV ) Jelebu.

Isterinya Zaiton Tua, 66, sudah menerima dos pertama vaksin pada awal bulan lalu dan akan menerima dos kedua di PPV Jelebu tidak lama lagi.

Disiarkan pada: June 21, 2021 @ 7:35pm
d