mutakhir

Masih bincang kaedah ibadah korban di Selangor

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

Kuala Selangor: Belum ada kata putus berikutan Prosedur operasi standard (SOP) ibadah korban di Selangor bersempena sambutan Aidiladha pada bulan depan masih di peringkat perbincangan.

Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Dr Ahmad Shahir Makhtar, berkata, perbincangan kini masih berlaku di peringkat MAIS dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Menurut beliau, kedua-dua pihak perlu melihat pelbagai sudut sebelum mempersembahkan hasil perbincangan kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi memohon perkenan baginda.

"Kita masih dalam proses (perbincangan) untuk melihat SOP seperti mana tahun sebelumnya. Ia merupakan prosedur yang biasa dilaksanakan.

"Untuk itu, proses ibadah korban ini akan kita persembahkan kepada baginda untuk mendapatkan perkenan," katanya selepas menyerahkan sumbangan pek makanan kepada petugas barisan hadapan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Berlian, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam, di sini, tadi.

Pada tahun lalu, kerajaan membenarkan sambutan perayaan Aidiladha dan pelaksanaan ibadah korban ketika negara berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Kebenaran itu tertakluk kepada SOP ditetapkan pihak berkuasa agama Islam, namun semua aktiviti perarakan keagamaan, kenduri dan rumah terbuka membabitkan kehadiran orang ramai sehingga menyukarkan penjarakan sosial dan pematuhan SOP, tidak dibenarkan.

Di Selangor, ibadah korban hanya boleh diadakan di kawasan masjid yang akan ditetapkan iaitu di kawasan Masjid Negeri, 38 masjid yang dibenarkan untuk solat Jumaat dan fardu serta masjid di zon hijau.

-tamat-

#kw SOP, ibadah korban, peringkat perbincangan, Dr Ahmad Shahir Makhtar, sumbangan pek makanan kepada petugas barisan hadapan, Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Berlian, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam, Kuala Selangor

Disiarkan pada: June 22, 2021 @ 4:26pm
d