mutakhir

Lelaki maut akibat serangan jantung bukan kerana durian, vaksin

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Kematian seorang lelaki yang didakwa meninggal dunia kerana makan durian selepas suntikan vaksin terungkai apabila punca kematiannya disahkan akibat serangan jantung.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya menerima maklumat memaklumkan ada satu kes kematian dilaporkan di sebuah restoran di Jalan 3/36 Taman Sri Bintang, di sini, kira-kira jam 4 petang tadi.

"Lelaki berkenaan datang ke restoran terbabit untuk membungkus makanan dan minuman jam 3.30 petang.

"Semasa menunggu makanan yang dipesannya, lelaki itu tiba-tiba terjatuh dari kerusi tempat duduknya dan tidak sedarkan diri.

"Pemilik restoran berkenaan menghubungi pihak Hospital Kuala Lumpur (HKL) sebelum lelaki terbabit disahkan meninggal dunia oleh Penolong Pegawai Perubatan HKL," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Eng Lai berkata, pemeriksaan dilakukan di lokasi kejadian mendapati lelaki berusia 49 tahun berkenaan tidak mengalami kecederaan fizikal pada luaran badannya.

"Malah, siasatan dilakukan juga mendapati tiada tanda-tanda dikaitkan dengan unsur jenayah. Hasil bedah siasat dilakukan terhadap lelaki berkenaan mendapati punca kematian adalah 'ischemic heart disease' (serangan jantung) dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR)," katanya.

Terdahulu, satu hantaran mendakwa seorang lelaki meninggal dunia di sebuah restoran kerana makan durian selepas menerima vaksin, tular di media sosial, hari ini.

Disiarkan pada: June 22, 2021 @ 8:32pm
d