mutakhir

Nasi berlauk murah [METROTV]

Oleh Siti Rohana Idris

Tumpat: Jualan nasi berlauk dengan harga RM1.50 sebungkus memang sukar diperoleh pada masa kini, namun ia boleh didapati di Kampung Alor Tal, di sini.

Nasi bungkus berlaukkan gulai ayam, gulai ikan, ayam goreng dan nasi lemak dijual dengan harga serendah itu oleh Siti Suhada Salleh, 34, sejak awal Sekatan Perjalanan Penuh (SPP) yang bermula awal Jun lalu.

Ibu tunggal kepada dua cahaya mata itu mengakui, walaupun harga ditawarkan sangat murah, dia yang mengusahakan perniagaan itu dengan adiknya, Siti Salma Salleh, 32, masih memperoleh keuntungan.

Siti Suhada berkata, pada awalnya dia hanya membantu adiknya yang berhenti kerja di sebuah kopitiam di Wakaf Bharu disebabkan premis itu tidak beroperasi sepanjang SPP, menjaja nasi berlauk yang dimasaknya di sekitar kampung berkenaan dengan menunggang motosikal.

"Hari pertama dia menjaja, saya hanya menyediakan sekitar 40 bungkus sahaja nasi berlauk gulai ayam dan ikan serta nasi lemak dan disebabkan harganya yang murah, ia mendapat sambutan.

"Keesokannya saya menambah lagi kepada 80 bungkus kerana ada pelanggan yang memesan sejumlah bungkusan nasi untuk disedekahkan kepada mereka yang memerlukan pada masa sama ingin membantu perniagaan kecil-kecilan saya ini," katanya ketika ditemui di rumah ibunya di Kampung Alor Tal, di sini, hari ini.

Siti Suhada berkata, selepas dua minggu menjaja nasi berlauk dengan motosikal, dia mengambil keputusan menukar kaedah jualan iaitu membuka meja dan pelanggan datang secara terus.

Dia yang juga seorang kakitangan syarikat pengeluar penulen udara dan penapis air di daerah ini berkata, masa terluang disebabkan tidak dapat keluar bekerja dimanfaatkan sepenuhnya untuk mencari rezeki dengan berniaga nasi berlauk.

"Tugas memasak dimulakan pada jam 11 malam dan jam 3 pagi saya dengan dibantu adik memulakan kerja membungkus nasi yang sudah ditempah pelanggan sebelum semua tugas itu disambung jam 7 pagi sebaik gerai kecil di hadapan rumah dibuka.

"Nasi yang perlu dibungkus awal biasanya yang sudah ditempah termasuk mereka yang ingin menyedekahkannya kepada sesiapa sahaja yang datang membeli.

"Jika tamat SPP nanti dan saya sudah boleh keluar bekerja, perniagaan ini mungkin akan diteruskan cuma adik perlu mengupah pembantu untuk membungkus kerana saya hanya mampu memasak sahaja selepas ini," katanya yang menjual purata 300 bungkus setiap hari.

Tinjauan yang dibuat di hadapan rumahnya, kelihatan pembeli sudah beratur panjang sebelum jam 7 pagi lagi dan kebanyakannya membuat pesanan bukan sedikit sebaliknya lebih dari lima bungkus setiap orang.

Seorang pembeli, Ahmad Baderul Ag Ahmad, 39, berkata dia datang membeli nasi berlauk kerana selain harganya yang murah, lokasinya juga agak berdekatan dengan rumahnya.

"Hari ini saya membeli 12 bungkus nasi lauk ayam gulai yang sudah ditempah semalam dan sangat mengejutkan kerana ia diberi percuma... mungkin ada individu yang bermurah hati memberi sedekah dengan cara ini.. Alhamdulillah," katanya.

Disiarkan pada: June 23, 2021 @ 3:17pm
d