mutakhir

Murung selepas perniagaan gagal, lelaki terjun tingkat 10 pangsapuri

Oleh Nur Izzati Mohamad

Butterworth: Seorang lelaki yang berdepan masalah kemurungan sejak perniagaan diusahakannya gagal maut selepas terjun dari tingkat 10 pangsapuri di Jalan Bagan Ajam, di sini, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, polis menerima panggilan daripada seorang lelaki berusia 52 tahun yang juga pengerusi pangsapuri pada jam 6.45 petang berhubung insiden itu.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa berusia 26 tahun memasuki kawasan pangsapuri dengan menaiki motosikal melalui laluan utama.

"Mangsa terus menaiki lif ke tingkat 10 sebelum duduk melunjur kaki keluar di balkoni kaki lima dan secara tiba-tiba terjun ke bawah.

"Mangsa maut ekoran kecederaan parah dialaminya," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, hasil soal siasat ke atas isteri mangsa yang juga berusia 26 tahun memaklumkan suaminya mengalami tekanan perasaan sejak beberapa hari lalu dan pernah menerima rawatan di sebuah klinik swasta, empat hari lalu.

"Mangsa mulai alami kemurungan selepas perniagaan yang diceburi gagal dan mengalami kerugian.

"Siasatan ke atas mayat mangsa tidak menemui sebarang elemen jenayah," katanya.

Mayat dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk proses bedah siasat.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Disiarkan pada: June 23, 2021 @ 10:25pm
d