mutakhir

Lori tangki hilang kawalan dipercayai punca kemalangan

Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Ipoh: Nahas membabitkan lima lori di KM288 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, di sini, malam tadi dipercayai berpunca daripada lori tangki gas petroleum cecair (lLPG) hilang kawalan dan melanggar lori yang lain.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Perak, Superintendan Azizan Hassan berkata, pemandu lori tangki itu dikenali Ahmad American Ahmad Danial, 42, meninggal dunia di tempat kejadian.

Katanya, pemandu dan kelindan lori jenis Scania yang dirempuh lori tangki berkenaan pula cedera di dada dan tangan.

Turut cedera seorang pemandu lori jenis Hino berusia 34 tahun cedera di kaki, manakala dua lagi mangsa yang masing-masing memandu lori jenis Volvo dan Hino tidak alami kecederaan.

"Sejurus lori tangki itu melanggar belakang lori Scannia, kenderaan berkenaan meluncur dan melanggar pula tiga lori lain di hadapannya.

"Kejadian berlaku di laluan dua lorong yang lurus dan permukaan jalan kering, namun persekitaran sedikit gelap," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Azizan berkata, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan mayat mangsa sudah dihantar ke Unit Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh untuk dibedah siasat.

Katanya, mangsa cedera turut dihantar ke hospital sama untuk rawatan susulan, manakala semua kenderaan terbabit dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) untuk pemeriksaan.

Berita berkaitan

Seorang maut dalam nahas lima lori

Disiarkan pada: June 24, 2021 @ 11:11am
d