mutakhir

Jual timbang ulas durian masih untung [METROTV]

Oleh Zuliaty Zulkiffli

Sintok: "Saya nak puaskan hati semua pelanggan, saya jual durian dengan cara timbang ulas durian dalam bekas tanpa kulit dan kalau ada yang buruk atau keras, saya gantikan dengan yang baru," kata Sharliza Shahidan, 52.

Sharliza dan anak lelakinya, Mohd Izzuwan Ismail, 30-an yang menjual durian di tepi jalan Batu 15, Jalan UUM-Sintok sebelum ini pernah tular di media sosial kerana menjual durian timbangan tanpa kulit.

Disebabkan itu, gerainya tidak putus dikunjungi pelanggan untuk membeli durian kerana ia lebih murah dan banyak berbanding peniaga lain.

Menurut Sharliza, sejak itu dia dan anaknya tidak menang tangan menjual durian mengikut harga jenis durian yang dijualnya di gerai tepi jalan itu.

"Memang sebelum ini berlaku lambakan durian sehinggakan saya tak tahu cara nak puaskan hati pelanggan kerana ada yang teringin nak makan tapi tak mampu nak beli disebabkan harganya mahal.

"Jadi, saya terpaksa fikirkan cara untuk mengelak pelanggan merungut kerana membeli durian dengan harga kayangan dan saya mengambil inisiatif menjualnya dengan cara timbangan ulas durian yang siap dikupas dan dimasukkan ke dalam bekas bagi mengelak ada yang bawa pulang buah buruk atau dapat makan dua tiga ulas saja," katanya ketika ditemui di gerainya di sini, semalam.

Menurut Sharliza, konsep niaga yang dilakukannya itu tidak merugikan, malah dia berasa lebih puas hati kerana semua pelanggan tidak kira golongan dapat menikmatinya dengan harga yang setimpal.

Katanya, namun disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ketika ini menyebabkan dia terpaksa mengutamakan pelanggan yang membuat tempahan secara dalam talian atau menghubunginya terlebih dahulu.

"Dulu pernah tular pasal anak saya jual durian timbangan ulas, sekarang ia kembali tular menyebabkan saya bimbang kalau ramai yang datang kerana sekarang masih PKP lagi dan perlu jaga prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Kalau dah tempah, saya atau anak akan serah melalui pandu lalu kepada pelanggan yang datang ke sini bagi mengelak kesesakan.

"Setiap hari, saya jual durian antara jam 9 pagi hingga jam 11 pagi dan kalau yang datang sebelah petang, ikut nasib tapi lebih baik membuat tempahan dulu," katanya.

Menurut Sharliza, musim durian baru bermula dan dia menjangkakan buah akan luruh lebih banyak minggu depan namun bergantung pada keadaan.

Katanya, antara durian yang dijual di gerainya termasuklah durian kampung, udang merah, D24, klon 99 dan D28 yang dijual mengikut timbangan ulas antara RM35 hingga RM40.

"Saya sampai takut nak jawab panggilan telefon atau membalas WhatsApp termasuk ada yang buat tempahan di Facebook (FB).

"Tapi kalau ada yang nak beli buah durian sebiji saya jual tapi ikut gred A,B, atau C dengan harga yang mampu dibeli," katanya.

Selain mempunyai dusun durian sendiri, Sharliza juga turut menjadi peraih durian untuk menjual raja buah itu kepada orang ramai dengan harga berpatutan.

Disiarkan pada: June 24, 2021 @ 2:23pm
d