mutakhir

Kaji semula kebenaran operasi kedai alat tulis, komputer

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuala Lumpur: Kelonggaran wajar diberikan kepada kedai alat tulis, telefon bimbit dan komputer untuk beroperasi semula.

Ia dilihat seiring dengan situasi semasa yang memerlukan pelajar menjalani pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Selain itu, ramai pekerja kini masih bekerja dari rumah yang memerlukan mereka terus menggunakan peralatan komputer untuk bertugas.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, operasi kedai sedemikian perlu dibenarkan kerana keperluan dan sesuai dengan situasi semasa.

Menurutnya, bagaimana anak yang menjalani PdPR mahu membeli kelengkapan menyiapkan kerja sekolah sedangkan kedai alat tulis tidak beroperasi.

"Keadaan ini ternyata tidak sesuai dan akan menyebabkan proses PdPR itu terganggu.

"Malah PdPR juga menggunakan sepenuhnya telefon bimbit serta komputer dan jika peranti itu rosak sudah pasti sukar untuk dibaiki kerana penutupan kedai telefon bimbit dan komputer," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Beliau berkata, kerajaan juga perlu menilai semula kebenaran beroperasi mengikut situasi dan keperluan semasa.

Katanya, tidak sesuai untuk PdPR dan bekerja dari rumah jika kedai alat tulis dan pembaikan peranti tidak dibenarkan beroperasi.

"Wujudkan prosedur operasi standard (SOP) lebih ketat untuk pastikan keadaan lebih terjamin," katanya.

Pengguna terutamanya ibu bapa kecewa kerana sukar mendapatkan peralatan pembelajaran anak kedai disebabkan alat tulis ditutup sehingga kini.

Malah, jika berlaku kerosakan pada peranti yang digunakan sudah pasti sukar untuk dibaiki segera.

Disiarkan pada: June 24, 2021 @ 5:12pm
d