mutakhir

Covid-19: 5,812 kes baharu, 82 kematian hari ini

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Kes baharu Covid-19 mencatatkan 5,812 kes di seluruh negara hari ini dengan 82 kematian.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, angka terkini itu menjadikan jumlah kumulatif setakat ini sebanyak 722,659 kes.

"Selangor kekal mencatat kes harian tertinggi dengan 2,187 kes diikuti Kuala Lumpur (771), Sarawak (673), Negeri Sembilan (658), Pulau Pinang (270) dan Melaka (223).

"Negeri lain mencatatkan kurang 200 kes baharu iaitu Johor (196), Kedah (186), Sabah (156), Pahang (139), Labuan (123), Kelantan (98), Perak (72), Terengganu (46) dan Putrajaya (14) manakala tiada kes baharu direkodkan di Perlis, hari ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 6,775 kes sembuh turut dilaporkan menjadikan jumlah kes sembuh keseluruhan adalah sebanyak 657,739.

"KKM turut merekodkan sebanyak 870 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di mana 433 kes memerlukan bantuan pernafasan.

"Sebanyak 82 kes kematian pada hari ini, 31 kes di Selangor, 18 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, lapan kes di Johor, lima kes di Negeri Sembilan dan empat kes di Sarawak.

"Turut dilaporkan mencatatkan kematian adalah Wilayah Persekutuan Labuan, Pahang, dan Kedah dengan masing-masing tiga kes, dua kes di Pulau Pinang dan Kelantan, serta masing-masing satu kes di Sabah, Perak, dan Melaka," katanya.

Menurutnya, sebanyak 21 kluster baharu juga dilaporkan pada hari ini yang mana 18 daripadanya adalah kluster tempat kerja.

"Sehingga kini terdapat 873 kluster masih dilaporkan aktif dan 1868 kluster sudah tamat.

"KKM ingin menasihati orang ramai termasuk individu yang sudah menerima vaksin Covid-19 agar terus mematuhi saranan serta nasihat kesihatan yang sering ditekankan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: June 25, 2021 @ 8:12pm
    d