mutakhir

Samseng jalanan cuba lari gilis kaki polis

Oleh Essa Abu Yamin

Batu Pahat: Seramai 15 remaja ditahan kerana terbabit dalam aktiviti samseng jalanan dalam Operasi Motosikal di Kampung Parit Bakong, Senggarang dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, remaja berusia antara 16 hingga 21 tahun itu ditahan dalam operasi dilakukan sepasukan polis Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat pada jam 6.30 petang.

"Operasi dijalankan selepas pihak polis menerima aduan orang awam terhadap sekumpulan remaja yang menunggang motosikal dengan melakukan pelbagai kesalahan termasuk berlumba.

"Aktiviti berkenaan mengganggu ketenteraman dan kesejahteraan penduduk di kawasan berkenaan," katanya dalam kenyataan, di sini.

Menurutnya, dua daripada mereka ditahan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu menunggang secara melulu dan merbahaya sehingga membahayakan nyawa sendiri dan pengguna jalan raya lain.

"Seorang daripadanya turut disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana enggan memberi kerjasama ketika diperiksa dengan cuba melarikan diri dan menggilis kaki seorang anggota polis yang bertugas.

"Sebanyak 58 saman Pol 257 dikeluarkan diatas pelbagai kesalahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) APJ 1987 (Pindaan 2020) dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan," katanya.

Disiarkan pada: June 27, 2021 @ 2:50pm
d