mutakhir

Sembilan monyet ditemukan mati disyaki diracun [METROTV]

Oleh Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Polis sudah menerima laporan berhubung sembilan monyet liar yang ditemukan mati dipercayai akibat diracun di Paya Terubong, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, laporan polis berkenaan dibuat oleh pengawal keselamatan yang bertugas di perumahan berhampiran.

"Pengawal keselamatan terbabit membuat laporan selepas didapati sembilan monyet liar berkenaan mati disyaki diracun di hadapan apartmen di Grand View, di sini.

"Kes berkenaan sudah dirujuk kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bagi siasatan lanjut," katanya di sini, hari ini.

Terdahulu, dua video tular menunjukkan beberapa monyet dalam keadaan hampir mati.

Sementara itu, pengawal keselamatan terbabit ketika dihubungi, berkata dia mengetahui kejadian daripada seorang wanita yang kerap memberi makanan kepada haiwan berkenaan.

Katanya, wanita terbabit menghubunginya dan mendakwa menemukan serpihan biskut dipercayai mengandungi racun dalam mulut monyet terbabit lalu bergegas ke lokasi bagi melihat keadaan itu.

"Saya sudah 40 tahun tinggal di sini, belum pernah lagi mendengar aduan monyet berkenaan mengganggu penduduk. Perbuatan ini sangat kejam dan tindakan tegas perlu diambil terhadap pelaku," katanya.

Disiarkan pada: June 27, 2021 @ 3:01pm
d