mutakhir

Dipukul kerana hubungan dengan abang angkat

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Petaling Jaya: Gara-gara cemburu hubungan dengan abang angkat, seorang kanak-kanak perempuan cedera dipukul rakan sekolah dalam kejadian di sebuah pangsapuri di Kelana Jaya, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada mangsa iaitu seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun, semalam.

"Menurut laporan dibuat mangsa, dia memaklumkan dipukul rakan sekolahnya yang juga seorang remaja perempuan berusia 13 tahun kerana cemburu hubungan pengadu dengan abang angkatnya.

"Dalam kejadian itu, mangsa cedera di bahagian kepala dan badan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Fakhrudin berkata, ketika kejadian itu, terdapat beberapa rakan suspek merakam perbuatannya dan memuat naik video berkenaan di aplikasi WhatsApp serta akaun Instagram milik suspek.

"Semua pihak yang terbabit dalam kejadian itu sudah dikenal pasti dan akan diambil keterangan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

"Kami menasihatkan orang ramai menghentikan penularan rakaman video berkenaan memandangkan kes itu masih dalam siasatan," katanya.

Terdahulu, satu rakaman video berdurasi dua minit 20 saat menunjukkan seorang remaja perempuan dipukul, ditendang serta ditarik rambut oleh seorang kanak-kanak perempuan di tangga sebuah pangsapuri tular di media sosial, hari ini.

Disiarkan pada: June 28, 2021 @ 6:24pm
d