mutakhir

'Kibar bendera putih supaya kami tahu'

Oleh Murnaena Muhammad Nasir

Kuala Lumpur: Kempen kibarkan bendera putih di hadapan rumah sekiranya terputus bekalan makanan mula mendapat perhatian warganet.

Kempen yang disambut baik pengguna media sosial sejak semalam itu bermatlamat bagi membantu individu yang terkesan akibat pandemik Covid-19 namun malu menyatakannya secara terbuka.

Ia juga diharapkan memberi isyarat kepada pihak tertentu mahupun orang sekeliling supaya dapat membantu mereka yang memerlukan dalam apa-apa bantuan dengan kadar segera.

Tinjauan Harian Metro di Facebook, Twitter dan Instagram mendapati, orang ramai berkongsi mesej dan pesanan agar mana-mana individu yang berada dalam kesulitan tidak mengambil tindakan membahayakan diri.

"Saya nasihatkan kepada semua yang terkesan, tiada makanan, naikkan bendera putih di rumah anda. Biar orang sekeliling pakat membantu, beri sedikit sebanyak yang termampu.

"Jangan ambil tindakan merugikan diri sendiri dan keluarga. Elakkan stres (tekanan), berkongsilah masalah dengan orang ramai.

"Tidak perlu merayu, tidak perlu rasa malu, hanya kibar kain putih, semoga ada yang membantu," tulis seorang pengguna media sosial, Myprem Mizie di Facebook.

Di Twitter, kempen berkenaan turut disambut baik dengan hashtag #BenderaPutih yang kini hampir mencecah 10,000 ciapan.

"Kempen ini sungguh menghangatkan hati. Setiap orang yang terdesak untuk bertahan hanya perlu kibarkan #benderaputih atau apa sahaja warna putih agar jiran-jiran boleh tolong apa yang patut.

"Inilah masanya untuk kita menjaga diri dan masyarakat kita. Mari kita kembalikan #rakyatjagarakyat," ciap @hanasuhana00 di Twitter.

Tidak terkecuali, pengguna Instagram turut memuat naik video dan gambar menyatakan tanda sokongan terhadap kempen ini.

"Jiran adalah orang yang paling dekat dengan kita. Adalah sangat berdosa jika tidak bertanyakan khabar dan kesejahteraan jiran. Kerana jiran juga adalah keluarga.

"Kibarkan bendera putih supaya kami tahu. Kibarkan untuk kami bantu. Kibarkan untuk kami berganding bahu. #benderaputih," tulis pengguna Instagram, Akmal Masduki.

Disiarkan pada: June 29, 2021 @ 12:18pm
d