mutakhir

Tarikh lihat anak bulan Zulhijah pada 10 Julai

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Tarikh melihat anak bulan Zulhijah bagi menetapkan tarikh Aidiladha adalah pada petang Sabtu, 10 Julai bersamaan 29 Zulkaedah 1442 Hijriah, demikian menurut kenyataan pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-raja hari ini.

Penyimpan Mohor Besar Raja-raja akan mengisytiharkan pada malam itu juga tarikh 1 Zulhijah dan tarikh 10 Zulhijah iaitu hari raya Aidiladha yang ditetapkan melalui radio dan televisyen.

"Majlis Raja-raja telah mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh Hari Raya Qurban adalah berdasarkan rukyah dan hisab," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut menyebut bahawa jawatankuasa yang berkenaan diperkenankan untuk melihat anak bulan Zulhijah pada petang hari berkenaan di 28 lokasi di seluruh negara.

Lokasi itu ialah Pontian Kecil, Johor; Kompleks Falak Al-Khawarizmi Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara, Melaka; Kompleks Baitul Hilal Telok Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan serta Bukit Melawati, Kuala Selangor; Bukit Jugra, Banting, Kuala Langat dan Balai Cerap Selangor, Sabak Bernam di Selangor.

Ia juga membabitkan lokasi di Pantai Pasir Panjang, Mukim Pengkalan Baru, daerah Manjong, Perak; Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Aceh, Pulau Pinang serta Kampung Pulau Sayak, Kuala Muda; Pemandangan Indah, Pulau Langkawi dan Menara Alor Setar, Alor Setar di Kedah.

Selain itu, Bukit Besar, Kuala Terengganu; Bukit Geliga, Kemaman; Pulau Perhentian, Besut dan Balai Cerap Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA), Mukim Merang, Setiu di Terengganu serta Bukit Peraksi, Pasir Puteh; Bukit Kampung Tembeling, Mukim Manjur, Daerah Olak Jeram, Kuala Krai dan Menara Bangunan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (SEDC), Kota Bharu di Kelantan.

Turut menjadi lokasi melihat anak bulan itu ialah Esplanade Luak, Miri dan Teluk Bandung, Kuching di Sarawak; Balai Cerap Al-Biruni, Tanjung Dumpil, Putatan di Sabah serta Bukit Tanjong Batu, Nenasi; Gunung Berinchang, Cameron Highlands dan Bukit Pelindong, Kuantan di Pahang.

Lokasi lain ialah Tingkat 13, Menara Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan; Menara Kuala Lumpur; Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya dan Menara Pandang, Masjid Al-Hussain Kuala Perlis, Perlis.

Disiarkan pada: June 29, 2021 @ 12:31pm
d