mutakhir

Trak tunda bawa Alphard penuh dadah RM23.72 juta [METROTV]

Oleh Balqis Jazimah Zahari

Ipoh: Polis berjaya melumpuhkan rangkaian sindiket pengedaran dadah antarabangsa susulan penahanan dua beranak yang membawa kepada rampasan dadah bernilai RM23.72 juta di Lebuhraya Timur Barat, Gerik dekat sini, Sabtu lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Razarudin Husain berkata, hasil maklumat awam serta risikan, JSJN Perak dengan kerjasama JSJN Bukit Aman menahan dua suspek itu yang sedang membawa muatan tundaan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard.

"Pemeriksaan pada Toyota Alphard itu membawa kepada penemuan Methamphetamine dan ketamin seberat 448 kilogram (kg).

"Suspek berusia 27 dan 58 tahun yang juga pemandu serta kelindan trak tunda itu dipercayai terbabit dengan aktiviti pengedaran dadah ini," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak hari ini.

Menurut Razarudin, dadah terbabit ditemui dalam 447 bungkusan dan ia boleh digunakan oleh 2,166,175 penagih.

Kata beliau, dadah terbabit diseludup masuk dari Thailand dalam bentuk bungkusan teh Cina.

"Kami percaya, dadah ini untuk pasaran Indonesia, Filipina, Korea Selatan dan Australia.

"Siasatan awal mendapati, kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau selain negatif dadah," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Tindakan juga diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 yang mana polis turut menyita wang RM19,672 daripada suspek.

"Kedua-dua suspek direman hingga 3 Jun ini bagi membantu siasatan," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, hasil risikan mendapati, sindiket pengedaran dadah lain turut menggunakan kenderaan di atas trak tunda untuk menghantar barang larangan terbabit ke sesebuah lokasi.

"Kami menemui dadah itu di dalam kenderaan dan ia tidak disimpan dalam bahagian khas. Kami sudah memaklumkan kepada Ketua Polis Perak supaya mana-mana trak tunda yang menunda kenderaan perlu diperiksa.

"Risikan mendapati, taktik ini sudah digunakan oleh beberapa sindiket di pelbagai lokasi," katanya.

Disiarkan pada: June 29, 2021 @ 2:48pm
d