mutakhir

Boleh mohon Skim Internet Selangor mulai esok

Oleh Norzamira Che Noh

Shah Alam: Golongan M40 di negeri ini boleh memohon Skim Internet Selangor yang ditawarkan kerajaan negeri menerusi Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) mulai esok.

Inisiatif yang dikenali SISM40 itu dilaksanakan dengan kerjasama syarikat telekomunikasi bersepadu terkemuka negara iaitu Telekom Malaysia Berhad (TM) melalui perkhidmatan unifi yang mana kerajaan negeri memperuntukkan subsidi Internet khusus kepada M40.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, skim berkenaan melengkapi inisiatif kerajaan negeri yang diperkenalkan sebelum ini.

Katanya, inisiatif itu amat diperlukan dalam usaha menerapkan pendigitalan dalam kalangan rakyat Selangor dan membantu rakyat mengharungi tempoh mencabar ini.

"Kita semua maklum, pandemik Covid-19 yang melanda lebih daripada setahun ini memberi kesan besar kepada pendapatan rakyat dan sebelum ini inisiatif kerajaan negeri tertumpu kepada membantu golongan B40, namun kita juga sedar bahawa golongan M40 turut terkesan.

"Justeru kerajaan negeri bekerjasama dengan TM bagi memperkenalkan SISM40 sebagai usaha membantu rakyat Selangor menghadapi norma baharu dalam era digital. Terima kasih saya ucapkan kepada TM kerana bersama-sama dengan kerajaan negeri bagi membantu merealisasikan program yang baik ini.

"Saya menyeru agar lebih banyak lagi pihak swasta untuk tampil bersama-sama kami dalam menyalurkan bantuan kepada rakyat di saat-saat sukar sebegini," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menerusi SISM40, setiap isi rumah berpeluang menikmati subsidi antara RM10 hingga RM30 sebulan bagi tempoh setahun dengan melanggan satu daripada lapan pakej yang ditawarkan di bawah Pakej Keluarga, Pakej Bujang dan Pakej Asas.

Kerajaan negeri turut bekerjasama dengan 56 pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam usaha memastikan seramai mungkin mereka yang layak mendapat manfaat dari skim SISM40 ini.

Orang ramai juga boleh mendapatkan maklumat lanjut berkenaan syarat kelayakan dan proses pendaftaran melalui laman sesawang https://www.sism40.com.my/ atau di talian bantuan 03-5030 4595/4596 (Isnin –Jumaat 9.00 pagi – 5.00 petang) kecuali pada cuti umum.

Disiarkan pada: June 30, 2021 @ 12:14pm
d