mutakhir

Bercakap dengan buaya

Oleh Nazri Abu Bakar

Melaka: Sering bercakap dengan buaya menggunakan loghat Melaka menyebabkan penjaga haiwan di Taman Buaya Melaka, Mohd Rizal Manoor, 36, seolah-olah sudah berkawan dengan reptilia ganas itu.

Dia yang sudah bekerja sejak 2018 di taman berkenaan mengakui rapat dengan lebih 100 buaya namun tidak leka kerana kemungkinan diserang amat tinggi walaupun reptilia itu dalam keadaan kenyang.

Katanya, disebabkan kerjanya saban hari berdepan buaya seperti mencuci kolam dan memberi makan, dia mengambil pendekatan bersembang dengan reptilia itu.

"Saya paling rapat dengan seekor buaya yang paling nakal bernama Harris yang juga buaya kedua terbesar di taman ini yang berusia kira-kira 50 tahun dan seberat lebih 800 kilogram.

"Bagi membina hubungan, saya sentiasa bercakap dengan buaya tembaga itu seperti ucapan 'Assalamualaikum, apa khabar dan selamat pagi' sekali gus memastikan Harris sinonim dengan suara saya dalam masa sama mewujudkan kemesraan dan meredakan kebimbangan," katanya.

Dia bagaimanapun tidak menafikan ada beberapa kali Harris cuba menyerangnya.

Bagaimanapun, dengan mengetahui kelemahan dan tabiat haiwan berkenaan, dia sentiasa bersedia melindungi diri atau mengelak daripada serangan.

"Harris ditemani buaya betina bernama Ezza sering bertindak ganas dengan merosakkan pam air menyebabkan saya sering menegurnya dengan loghat Melaka," katanya.

Sementara itu, Koordinator Komunikasi Pemasaran Taman Buaya Melaka, Muhamad Haziq Ismail berkata, nama Harris dan Ezza diberikan oleh penjaga haiwan di taman itu sekitar 1993 berdasarkan watak filem terkenal pada ketika itu.

Beliau berkata, sifat Rizal yang berani selain memiliki ilmu dan kemahiran memahami gerak geri buaya menjadi kelebihannya.

"Rizal juga mesra dengan ular, kura-kura, burung dan arnab di taman ini. Tambahan minat dia dengan haiwan menjadikan dia mudah untuk menguruskan hidupan di sini," katanya.

Disiarkan pada: July 1, 2021 @ 2:20pm
d