mutakhir

PKPD KL, Selangor: Peniaga makanan dibenar beroperasi setakat 8 malam [METROTV]

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin dan Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: Tiada larangan untuk restoran, kedai makan, kenderaan bersaji, penjaja tepi jalan, penjaja beredar, medan selera atau pusat penjaja dan gerai makan mahupun kiosk untuk beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL).

Bagaimanapun, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, semua peniaga itu boleh beroperasi antara 8 pagi hingga 8 malam, secara jualan bawa pulang, pandu lalu atau penghantaran ke rumah.

Katanya, waktu operasi itu juga terguna pakai untuk kedai farmasi, penjualan ubat, klinik haiwan dan makanan haiwan, manakala hospital, klinik dan makmal perubatan boleh beroperasi sehingga 24 jam atau mengikut lesen kebenaran.

"Stesen minyak dibenarkan beroperasi antara 6.00 pagi hingga 8.00 malam kecuali stesen minyak di lebuh raya bertol beroperasi sehingga 24 jam, manakala pasar borong bermula 12.00 pagi hingga 6.00 pagi, pasar awam, Pasar Tani Kekal (PTK) dan MyFarm Outlet (MFO) pula pada 6.00 pagi hingga 2.00 petang.

"Lapangan terbang dan pelabuhan dibenar beroperasi seperti biasa, begitu juga perkhidmatan pengangkutan awam termasuk e-hailing, dengan kapasiti 50 peratus," katanya.

Beliau menegaskan sebarang aktiviti sukan, sosial, rekreasi dan budaya adalah tidak dibenarkan sepanjang tempoh dua minggu PKPD berlangsung.

PKPD di Selangor, KL mulai Sabtu ini

PKPD KL, Selangor: Boleh rentas daerah, negeri untuk vaksinasi

SOP terkini bagi PKPD KL, Selangor

Disiarkan pada: July 1, 2021 @ 7:30pm
d