mutakhir

Episod sedih lima beranak terpaksa ikat perut [METROTV]

Oleh Zaid Salim

Dungun: Terputus bekalan makanan menyebabkan lima beranak terpaksa menahan lapar berikutan hilang sumber pendapatan selepas anak perempuan yang menjadi tonggak keluarga diberhentikan kerja.

Damri Mohd, 63, berkata berikutan keadaan dirinya tidak sihat kerana menghidap penyakit kronik, dua anaknya, Ummu Adibah, 25, dan Amirul, 26, mengambil tugas mencari rezeki bagi menanggung keluarga.

Menurutnya, sebelum ini dia bekerja sebagai penebang balak dan tidak dapat melakukan pekerjaan itu lagi sejak diserang angin ahmar pada 2013,.

"Apabila keadaan sedikit sihat, saya kembali bekerja dengan mengambil upah menjadi pemandu lori, namun keadaan tidak bertahan lama apabila menghidap penyakit gout pula.

"Selain itu, saya juga menghidapi pelbagai penyakit kronik iaitu jantung, darah tinggi, kencing manis dan masalah buah pinggang," katanya.

Damri berkata demikian selepas menerima bantuan bakul makanan sumbangan Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli di rumahnya di Kampung Pinang Merah, Paka, di sini, hari ini.

Katanya, bantuan berkenaan bagai 'penyelamat' bagi keluarganya yang terputus bekalan makanan selepas Ummu Adibah yang bekerja sebagai pembantu di kedai sate diberhentikan kerja, semalam disebabkan majikannya tidak mampu membayar gaji.

"Sejak tiga bulan lalu, dia (Ummu Adibah) yang membeli barangan dapur, tetapi selepas diberhentikan kerja, saya tidak tahu macam mana nak tempoh hari-hari mendatang.

"Sejak wabak Covid-19 melanda, nak beli gas memasak pun kami tak mampu," katanya.

Sementara itu, Ummu Adibah yang juga graduan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dalam jurusan Perniagaan Antarabangsa berkata, dia tidak pernah bercerita kesusahan keluarganya kepada mana-mana pihak bagi mendapatkan bantuan, kecuali berkongsi masalah dengan rakan terdekat.

Katanya, ada rakan mencadangkan menggunakan kaedah kibar bendera putih, namun dia tidak melakukannya kerana malu untuk mewar-warkan keadaan keluarganya.

"Saya rela bekerja, tidak kira apa pekerjaan janji halal. Walaupun lepasan universiti, tetapi saya tidak malu bekerja di kedai sate, sebaliknya bangga kerana dapat bantu keluarga dengan titik peluh sendiri walaupun tidak seberapa.

"Amirul juga pernah bekerja mengajar kanak-kanak mengaji sebelum ini. Dia belajar dalam bidang Usuluddin di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), tetapi aktiviti itu dihentikan disebabkan Sekatan Pergerakan Penuh (SPP) Perintah Kawalan Pergerakan 3.0.

"Manakala adik, Siti Najiha, 23, yang juga baru habis belajar di UniSZA duduk di rumah menjaga bapa dan ibu, Che Wan Zamelah Che Wan Hasan, 58, yang mengalami masalah saraf dan darah tinggi," katanya.

Menurutnya, dia juga buntu memikirkan bagaimana mahu menyara keluarga dengan keadaan diri yang tidak bekerja dan kini mengharapkan tempahan tikar mengkuang yang diusahakan ibunya.

"Saya mengharapkan ada pihak sudi menghulurkan bantuan katil untuk bapa kerana sekarang dia hanya tidur di atas tilam dan menyukarkannya untuk bangun.

"Saya berterima kasih kepada Harian Metro kerana sudi menyantuni dan menyelami kesusahan kami," katanya yang mendakwa terkejut apabila derita keluarga sampai ke pengetahuan Wan Hassan.

Orang ramai yang bersimpati dengan keluarga ini boleh menghubungi Ummu Adibah di talian 0 11-2947 7299 untuk menyalurkan bantuan

Disiarkan pada: July 2, 2021 @ 8:31pm
d