mutakhir

Dalang rompakan bersenjata di Singapura dicekup

Oleh Raja Noraina Raja Rahim dan Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menahan seorang lelaki yang disyaki dalang utama rompakan bersenjata terhadap pengurus syarikat pengurup wang di Singapura, tujuh tahun lalu.

Difahamkan, suspek berusia 41 tahun melakukan jenayah itu bersama beberapa ahli kumpulannya di negara berkenaan pada 5 November 2014.

Sepasukan pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Bukit Aman yang menjalakan Op Singa menahan suspek di sebuah apartment di Kota Damansara, Petaling Jaya, pada 1 tengah hari tadi.

Menurut sumber, soal siasat awal dilakukan suspek mengaku terbabit dalam kes rompakan bersenjata di negara jiran berkenaan.

"Suspek mendakwa berperanan sebagai pengatur kenderaan dan laluan dengan dijanjikan bayaran RM500,000.

"Namun, suspek hanya menerima bayaran 7,000 dolar Singapura (kira-kira RM21,000) sahaja," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu.

Beliau berkata, tangkapan dibuat atas waran tangkap yang dipohon oleh Singapura bersabit kes rompakan pada 2014.

Katanya, seorang suspek saja yang ditahan bagi kes itu kerana ahli kumpulan lain yang juga rakyat Malaysia sudah ditahan sebelum ini.

Dalam kejadian 12.50 tengah malam, sekumpulan perompak menyerang mangsa di tempat letak kereta di Aljunied Crescent, Singapura, lalu melarikan wang tunai serta barang berharga berjumlah 624,000 dolar Singapura (kira-kira RM1.9 juta).

Semua suspek melarikan diri ke Malaysia kecuali seorang yang tinggal di Singapura.

Hasil siasatan dilakukan pihak berkuasa berjaya menahan enam suspek dan mereka sudah dijatuhi hukuman pada 2016 serta 2017.

Disiarkan pada: July 2, 2021 @ 10:42pm
d