mutakhir

Nasib Orang Asli Kampung Bukit Kala Batu 12 tidak dilupakan [METROTV]

Oleh Redzuan Muharam

Gombak: Prihatin dengan nasib Orang Asli, Intelek Muda Nasional menyantuni komuniti berkenaan dengan menyampaikan sumbangan barangan keperluan asas kepada 25 keluarga Orang Asli di Kampung Bukit Kala

Batu 12, di sini, hari ini.

Pengerusi Intelek Muda Nasional, Wilayah Persekutuan, Norman Mai berkata, inisiatif menerusi Projek Kasih PKP itu dilaksanakan bertujuan meringankan beban penduduk di kampung berkenaan yang segelintirnya hilang pekerjaan kesan pandemik Covid-19.

Katanya, bantuan disampaikan itu adalah hasil daripada dana sumbangan orang ramai ke tabung pendanaan awam (crowdfunding) persatuan.

"Kedatangan ke kampung ini adalah untuk menyantuni penduduk khususnya 25 keluarga selepas menerima aduan ada di antaranya yang kehilangan pekerjaan.

"Jadi, kita bawa barangan asas seperti beras, makanan dalam tin, susu, teh, kopi dan tidak ketinggalan cecair pembasmi kuman serta pelitup muka untuk disumbangkan kepada mereka.

"Kita hanya datang sebagai wakil untuk menyampaikan sumbangan yang sebenarnya diberikan hasil dana terkumpul dalam tabung persatuan," katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan sumbangan kepada Ketua Masyarakat Orang Asli Kampung Bukit Kala Batu 12, Hussein Ngah Yin.

Hadir sama, Pengerusi Intelek Muda Nasional (Pusat), Mohamad Fadly Mohd Zain.

Menurut Norman, program menyantuni komuniti Orang Asli di kampung itu bukan julung kali diadakan malah sudah dijalankan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 lagi.

Sementara itu, Hussein menghargai usaha Intelek Muda Nasional dalam menyantuni keluarga memerlukan di kampungnya.

Selain itu, dia juga berharap supaya mereka juga dapat diberi peluang bagi mendapatkan vaksin kerana bimbang dengan penularan wabak pandemik itu.

"Kampung ini didiami 5,000 penduduk terdiri daripada 550 keluarga. Ada 10 keluarga yang benar-benar susah dan saya cuba mendengar aduan seterusnya mencari jalan bagi meringankan beban mereka," katanya.

Disiarkan pada: July 2, 2021 @ 11:12pm
d